Ahad, 4 Oktober 2015 | 5:02pm

APMM selamatkan 7 pemancing di Dungun

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan tujuh pemancing termasuk tekong bot berhampiran Pulau Tenggol, Dungun malam tadi, selepas bot mereka rosak.

Pengarah Operasi Daerah Maritim 9 (DM9) Kuala Terengganu, Komander Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, pihaknya menerima panggilan daripada tekong bot itu pada jam 10.30 malam.

Katanya, sebaik menerima panggilan itu, sebuah aset digerakkan bagi mengesan dan menyelamat semua mangsa yang berusia antara 33 hingga 60 tahun itu.

"Dalam keadaan jerebu yang amat teruk dan jarak penglihatan terhad, bot maritim Penggalang 16 berjaya menjumpai bot itu kira-kira satu batu nautika daripada Pulau Tenggol, Dungun pada jam 11.10 malam.

"Semua nelayan tempatan ini ditemui dalam keadaan selamat dan bot mereka mengalami kerosakan pada penghidup enjin dan dalam berkeadaan bersauh.

"Bot mereka kemudian ditunda ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Dungun," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Templer berkata, kumpulan pemancing berkenaan keluar untuk menangkap ikan kira-kira pukul 8 pagi semalam sebelum mengalami kerosakan.

Beliau mengingatkan kepada semua pengguna laut agar berhati-hati ketika di laut ekoran jerebu yang melanda kini dengan jarak penglihatan yang terhad.

"Diingatkan juga agar mereka lebih peka ketika di laut terutamanya kepada bot-bot nelayan kecil dan nelayan pesisir pantai, elakkan daripada menggunakan laluan kapal dagang bagi mengelakkan sebarang pelanggaran," katanya.

Templer berkata sebarang kejadian kecemasan dan aktiviti jenayah maritim semasa berada dilaut boleh dilaporkan segera dengan menghubungi talian MERS 999 atau di talian 09-6224357 Pejabat Operasi Maritim Kuala Terengganu. - BERNAMA

Berita Harian X