Isnin, 5 Oktober 2015 | 12:03am
SKRIN Axon Elite diperbuat daripada Antimicrobial Corning Gorilla Glass, yang mana selain tahan lasak ia juga membunuh bakteria. - Foto Surianie Mohd Hanif

Axon Elite tawar pengalaman audio unik

TELEFON pintar keluaran terbaru ZTE, Axon Elite akan mula dijual di Malaysia pertengahan bulan ini. - Foto Surianie Mohd Hanif

PENGELUAR peranti mudah alih global, ZTE melancarkan telefon pintar Axon Elite di Malaysia baru-baru ini yang dilengkapi pengesahan biometrik cap jari, kawalan suara dan imbasan anak mata.

Axon Elite diposisikan secara kompetitif sebagai telefon pintar premium bagi memenuhi keperluan pelanggan global semasa.

Dinobatkan Anugerah Emas Pengalaman Pengguna pada IFA 2015 di Berlin, Axon Elite mensasar menawarkan peranti mudah alih lengkap dengan piawai tinggi dalam aspek keperluan audio dan visual bagi meningkatkan pengalaman pengguna.

"Selepas kejayaan dua pelancaran di Amerika Syarikat dan China, kami gembira meneruskan pelancaran global Axon di Malaysia," kata Pengarah Peranti Kumpulan ZTE (Malaysia) Corporation Sdn Bhd, Alex Yee Wai Chung.

Berharga RM1,999 termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST), Axon Elite menawarkan keperluan standard tertinggi audio dan visual bagi pengalaman pengguna canggih.

WAI Chung (kanan) menunjukkan empat model telefon pintar baharu keluaran terbaru ZTE. - Foto Surianie Mohd Hanif

Menyusuli Malaysia, ZTE melancarkan Axon Elite di negara Asia Tenggara lain, termasuk Thailand, Singapura dan Hong Kong.

Ini menandakan permulaan syarikat itu menjadikan Asia Tenggara rantau tumpuan bagi strategi jenama mewah oleh ZTE Mobile Devices. Di peringkat antarabangsa lain, Axon Elite boleh dibeli menerusi eBay.

Axon Elite menawarkan pengalaman audio dengan kualiti bunyi lebih mantap dan jelas. Mikrofon berkembar dengan teknologi menyekat bunyi bising membantu menghapuskan sebarang ganguan latar semasa panggilan suara atau rakaman video.

Imej dan video pula jelas dengan dwi kamera 13 megapiksel. Lensa tambahan menambah baik 'depth of field', manakala pengguna boleh memilih untuk menyelaraskannya pada skrin atau selepas imej dirakam bagi mendapat kedalaman imej.

Dengan apertur besar f/1.8 merentangi f/1.0 Axion Elite berupaya merakam imej berkelajuan tinggi sungguhpun dalam keadaan cahaya rendah.

Dwi kamera itu memiliki kelajuan pengatup pada 1/90,000 sesaat dengan keupayaan merakam objek bergerak pantas dengan tepat.

AXON Elite memiliki ciri keselamatan tinggi dengan tiga opsyen pengesahan biometrik - cap jari, kawalan suara dan pengimbas anak mata.

Axion Elite memiliki ciri keselamatan tinggi dengan tiga opsyen pengesahan biometrik - cap jari, kawalan suara dan pengimbas anak mata.

Ruang penyimpanan dalaman luas sebanyak 32GB, yang mana ia boleh ditambah kepada 128GB dengan tambahan kad mikroSD.

Ciri fizikal Axon Elite termasuk badan diperbuat daripada aluminium, manakala skrin diperbuat daripada Antimicrobial Corning Gorilla Glass, yang mana selain tahan lasak ia juga membunuh bakteria.

Menggunakan bateri 3000mAh memberikan peranti pintar itu cukup stamina untuk penggunaan sepanjang hari.

Axon Elite menggabungkan perkakasan dan perisian yang bersesuaian untuk menawarkan kualiti bunyi terbaik, fungsi kamera bagi prestasi lancar.

Ia akan memasuki pasaran Malaysia pertengahan bulan ini.

ZTE (Malaysia) mensasar penguasaan pasaran empat peratus pada 2016 dengan mewujudkan 200 kiosk di seluruh negara bagi menyediakan perkhidmatan selepas jualan yang lebih baik kepada pelanggan.

Beribu pejabat di Shenzhen, China, ZTE muncul dengan peranti pintar di Malaysia pada 2014, dan kini menguasai satu peratus penguasaan pasaran.

"Kami mahu menjadi antara lima penjual peranti pintar di negara ini menjelang 2016, dan kami mensasar pendapatan meningkat kepada 15 peratus tahun ke tahun," kata Wai Chung.

ZTE Malaysia turut melancarkan tiga modal iaitu Nubia Z9 Mini (RM1,239), ZTE Blade V6 (RM839) dan ZTE Blade A610 (RM639), yang akan memasuki pasaran tempatan juga pada pertengahan bulan ini.

Berita Harian X