Isnin, 5 Oktober 2015 | 4:30pm

Dedahkan bidang perakaunan kepada penuntut Bumiputera: Wahid

SHAH ALAM: Kerajaan menyarankan lebih banyak pendedahan diberikan kepada penuntut Bumiputera dalam jurusan perakaunan berikutan peratusan akauntan bertauliah dalam kalangan mereka amat membimbangkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata setakat ini, hanya lapan peratus daripada 32,000 akauntan bertauliah di negara ini terdiri daripada golongan Bumiputera, dan ia perlu ditingkatkan lagi.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

"Banyak faktor yang menyebabkan kurangnya pembabitan Bumiputera dalam bidang perakaunan.

"Antaranya tahap pendedahan rendah selain jurusan ini memerlukan pengetahuan tinggi dalam pengurusan nombor dan kefasihan berbahasa Inggeris.

"Disebabkan faktor itu, ramai penuntut Bumiputera kurang minat menceburi bidang perakaunan sedangkan akauntan adalah profesion yang akan mendapat permintaan tinggi pada masa depan," katanya selepas sesi beramah mesra dengan penuntut jurusan perakaunan dari beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) di Selangor di sini, hari ini.

Abdul Wahid berkata, kerjasama erat antara badan-badan perakaunan bertauliah dengan IPT amat diperlukan dalam menyediakan fasiliti pengajian terbaik bagi memupuk minat dan melahirkan lebih ramai akauntan bertauliah Bumiputera.

"Negara mensasarkan 60,000 akauntan bertauliah dilahirkan menjelang 2020 memandangkan perkhidmatan yang ditawarkan profesion ini sedang membangun dan mencerminkan kepentingannya pada masa depan," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Malaysia Professional Accounting Centre (MyPAC), Datuk Zaiton Mohd Hassan berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) bagi memulakan pelbagai program intervensi untuk menarik minat Bumiputera.

Sejumlah 18,000 akauntan Bumiputera bertauliah akan diperlukan dalam tempoh lima tahun akan datang bagi mencapai 30 peratus pembabitan golongan itu dalam bidang perakaunan negara.

"Bidang perakaunan dilihat antara profesion penting pada masa depan, disebabkan itu, kita menjalankan pelbagai program bagi menarik minat golongan Bumiputera menyertainya.

"Kita akan terus berusaha membantu golongan Bumiputera terlibat dalam sektor ini dengan memberikan gambaran lebih jelas mengenai masa depan profesion ini yang dijangka mempunyai sasaran gaji minimum RM5,000 sebulan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X