Isnin, 5 Oktober 2015 | 5:22pm

Remaja ditahan kerana tikam lelaki dalam cubaan samun

KLANG: Seorang remaja berusia 15 tahun ditahan selepas menikam seorang lelaki dalam cubaan samun di sebuah kedai di Jalan Tiara 5, Bandar Baru Klang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa yang juga warga Indonesia berusia lingkungan 30-an meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Difahamkan, remaja lelaki terbabit pergi ke kedai berkenaan sebelum cuba untuk menyamun mangsa yang turut berada di dalam premis terbabit.

Sumber berkata, suspek yang bersenjatakan pisau cuba menyamun mangsa sehingga menyebabkan pergelutan antara mereka.

"Akibat daripada pergelutan itu, suspek turut melibas pisau yang dipegangnya sebelum terkena pada bahagian badan mangsa dan menyebabkannya terbaring berlumuran darah.

"Melihat kejadian itu, orang ramai yang berada tidak jauh dari lokasi kejadian kemudiannya segera menahan suspek sebelum menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.

"Mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital berkenaan," katanya.

Suspek yang berjaya ditahan diserahkan kepada pihak berkuasa selain sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu juga turut dirampas.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat ketika mengesahkan kejadian berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Polis masih lagi menjalankan siasatan dan suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Berita Harian X