Selasa, 6 Oktober 2015 | 4:09pm

Seramai 2,284 guru di Sabah mohon balik negeri

SEBAHAGIAN graduan yang hadir di Majlis Pelancaran Program Inisiatif Pengumpulan Data 90:10 bagi graduan Jurusan Pendidikan di Wisma Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) di Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Seramai 2,284 guru yang mengajar di Sabah memohon untuk balik mengajar di negeri masing-masing sehingga 1 Oktober lalu.

Perkara itu diumumkan Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Jame Alip, selepas melancarkan inisiatif pengumpulan data 90:10 peringkat negeri di Likas, dekat sini, hari ini

"Pada tahun hadapan kita ada ramai guru yang memohon untuk balik mengajar di negeri masing-masing.

"Dalam masa sama, 394 guru berasal dari Sabah yang mengajar di negeri lain juga memohon untuk balik ke sini," katanya.

Jame berkata, kini terdapat lebih 1,000 kekosongan guru berikutan mereka yang berkhidmat, balik ke negeri masing-masing.

"Inisiatif pengumpulan data adalah untuk mengumpul data graduan pendidikan yang tercicir dan berminat menjadi guru.

"Ia bagi merealisasikan hasrat untuk memperoleh 90 peratus guru di Sabah terdiri daripada anak tempatan dalam tempoh tiga tahun akan datang,".

"Jabatan mensasarkan 17.9 peratus atau 2,621 guru sekolah menengah manakala 9.8 peratus atau 2,589 guru sekolah rendah terdiri dari kalangan anak tempatan," katanya.

Jame juga berkata, kini wujud kekurangan guru anak tempatan yang mengajar pendidikan Islam di Sabah ketika ini.

Beliau berkata, sehingga kini sekolah masih memerlukan guru agama dari negeri lain.

"Misalnya di Likas, terdapat 11 sekolah agama, tetapi mereka yang belajar aliran agama tidak ramai yang mahu menjadi ustaz atau ustazah," katanya.

Jame juga berkata, Sabah kekurangan guru tempatan yang mengajar aliran lain termasuk sains dan kaunseling.

"Kita memerlukan lebih 200 guru mengajar sains di samping guru kaunseling," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X