Rabu, 7 Oktober 2015 | 12:07am
JUWARIAH menunjukkan sijil kelahiran dua anak saudaranya yang berstatus bukan warganegara. - Foto e-mel

Kahwin tak berdaftar undang masalah berangkai


KANAK-KANAK hasil perkahwinan rakyat tempatan dengan warga asing, mungkin tidak mendapat hak sebagai warganegara jika proses perkahwinan ibu bapa dan urusan pendaftaran kelahiran mereka tidak dilakukan dengan betul.

Keadaan itu akan menyebabkan mereka tidak dapat menerima kemudahan sistem pendidikan negara, yang menyebabkan masa depan mereka terjejas dan bakal terperangkap dalam kepompong kemiskinan selama-lamanya.

Pakar motivasi dan kaunselor keluarga, Dr Robiah K Hamzah, berkata beliau menerima banyak kes sedemikian sejak lebih dua dekad dalam bidang kaunseling keluarga.

Katanya, pengurusan pendaftaran kelahiran yang salah berpunca daripada dua faktor iaitu status kemasukan warga asing itu yang tidak jelas, sama ada haram atau pelarian menyebabkan pasangannya tidak melaporkan perkahwinan di pejabat agama dan kelahiran anak tidak didaftarkan di pejabat pendaftaran.


PAKAR motivasi dan kaunselor keluarga, Dr Robiah K Hamzah. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Satu lagi masalah ialah kejahilan ibu bapa memberi ruang dan peluang sindiket memperdaya mereka untuk menawarkan dokumen kelahiran dengan harga tertentu.

"Ibu bapa pula tidak meneliti butiran dokumen sindiket berkenaan yang menyebabkan status anak salah. Sepatutnya ibu atau bapa warganegara mempersoalkan peringkat awal kenapa status anak mereka bukan warganegara.

"Jika anak itu lahir di negara ini menggunakan saluran sah, mesti ada rekod dan salinan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Ini menyebabkan anak mereka gagal mendapat MyKad kerana tiada rekod kelahiran," katanya kepada BH.

BH semalam mendedahkan dilema hidup sebagai orang tanpa warganegara. Itu yang dialami dua beradik apabila gagal mendapat hak sebagai rakyat Malaysia selepas permohonan mereka untuk memperoleh status warganegara ditolak beberapa kali sejak 10 tahun lalu, sedangkan bapa mereka adalah warga tempatan.


KERATAN laporan berita bertajuk 'Dua beradik macam pendatang di negara sendiri' di BH PLUS semalam.

Permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu dikemukakan sendiri oleh ibu saudara mereka, Juwariah Ismail, 49, selaku penjaga dua beradik berkenaan yang kematian ibu bapa sejak kecil.

Muhamaad Ali Shafiq Mohd Fo'ad, 22 dan Emy Alisya Abdullah, 14, adalah anak kandung kepada arwah abangnya, Mohd Fo'ad Ismail tetapi berlainan ibu.

Robiah berkata, jika dari mula pengurusan salah, masuk ke negara ini salah, kahwin tanpa restu dan tidak didaftar menyebabkan masalah berangkai yang mengheret sama nasib anak mereka.

"Jika sijil kelahiran itu sah, kemasukan sah, perkahwinan sah, ibu bapa boleh memohon dan merayu kepada JPN untuk membetulkan semula status warganegara berkenaan.

Jika ibu bapa meninggal dunia, penjaga atau anak-anak boleh membuat surat akuan sumpah dan memohon membetulkan maklumat diri anak-anak," katanya.

Beliau berkata, orang ramai perlu dimaklumkan bahawa berkahwin dengan warga asing perlu mengikut saluran yang sah dengan status kemasukan mereka yang betul agar tidak mengundang masalah di kemudian hari khususnya kepada anak mereka.

Berita Harian X