Rabu, 7 Oktober 2015 | 8:01am

Pengasingan kuasa antara Persekutuan, negeri

Asas pembentukan negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan menjadikan negara ini sebuah negara yang mempunyai identiti tersendiri. Antara asas penting pembentukan negara ini ialah negara Persekutuan iaitu negara yang dibentuk atas gabungan negeri.

Sebagai negara Persekutuan, Perlembagaan Persekutuan membuat pembahagian kuasa perundangan antara negeri dan Persekutuan. Ada dijanjikan dalam terma rujukan lantikan Suruhanjaya Reid ketika penggubalan Perlembagaan supaya dalam membentuk Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa besar kepada Persekutuan, beberapa kuasa autonomi dikekalkan kepada negeri dan perlu diwujudkan beberapa mekanisme bagi mengendalikan hubungan antara Persekutuan dan negeri.

Sejumlah kecil kuasa autonomi ini dikekalkan bagi membolehkan negeri mengekalkan kuasa mengenai beberapa perkara yang asas bagi negeri. Atas dasar dan persetujuan itu, Perlembagaan Persekutuan mewujudkan peruntukan khas pembahagian kuasa antara negeri dan Persekutuan. Perkara ini terkandung dalam Bahagian Keenam Perlembagaan Persekutuan.

Pembahagian kuasa

Dalam mentafsir Perlembagaan, mahkamah hendaklah memberi perhatian sepenuhnya kepada pembahagian kuasa antara Persekutuan dan negeri dan juga kuasa autonomi negeri seperti yang dimahukan Perlembagaan dalam peruntukan berkenaan pembahagian kuasa perundangan ini.

Jika tidak berbuat begitu, mahkamah akan menggagalkan sifat Malaysia sebagai negara Persekutuan yang memberikan layanan dan menjamin kedudukan tertentu kepada negeri. Dalam mentafsir Perlembagaan, mahkamah tidak boleh mengabaikan pengorbanan negeri dalam menyerahkan kuasa dan hak mereka kepada Persekutuan dalam proses membentuk negara Persekutuan. Mahkamah tidak boleh mengabaikan persetujuan dalam pembentukan Persekutuan ini yang mahu memberikan sedikit kuasa autonomi kepada negeri.

Negara Persekutuan dibentuk atas dasar persetujuan politik yang seterusnya dimaktub dan diisytihar dalam Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen perjanjian antara negeri. Atas dasar itu, perjanjian itu hendaklah ditunaikan.

Persekutuan asalnya tidak mempunyai apa-apa, tiada tanah atau kekuasaan. Persekutuan terbentuk atas tanah dan kekuasaan dan kedaulatan negeri. Kedaulatan pada Persekutuan, seperti diiktiraf oleh dunia adalah hasil daripada persetujuan dan penyerahan kuasa oleh negeri.

Negeri merdeka dan berdaulat membuat perjanjian dengan menyerahkan kekuasaan mereka kepada Persekutuan dengan syarat Perlembagaan Persekutuan menjamin kedudukan negeri. Bahagian Kelima Perlembagaan Persekutuan membuat beberapa peruntukan bagi menjamin kedudukan Raja bagi negeri serta jaminan terhadap keistimewaan Dewan Undangan Negeri.

Selain itu, kekuasaan dan kedaulatan negeri juga boleh dilihat dalam Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan, yang mana kuasa berkaitan saki baki perundangan adalah hak kepada negeri. Jika ada sesuatu perkara tidak disenaraikan dalam senarai perundangan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan atau peruntukan lain dalam Perlembagaan, perkara itu adalah hak negeri. Peruntukan ini menjelaskan dasar kekuasaan dan kedaulatan negeri, yang semua perkara atau punca kuasa sebuah Persekutuan itu adalah negeri.

Dalam perkembangan atau kes semasa, beberapa isu dibangkitkan dalam mahkamah berkaitan bidang kuasa negeri dan kuasa Dewan Undangan Negeri, terutama perkara membabitkan perundangan syariah, khususnya undang-undang jenayah syariah.

Sebelum ini, ada keputusan mahkamah tidak mengambil berat jaminan Perlembagaan terhadap kuasa perundangan negeri. Pendekatan ini mengabaikan kedudukan negeri sebagai komponen utama dalam pembentukan Persekutuan. Pendekatan begini boleh menggagalkan gagasan negara Persekutuan seperti diniatkan dahulu. Dalam mentafsir Perlembagaan, mahkamah hendaklah meraikan hak negeri kerana sejarah dan agenda pembentukan Persekutuan tidak boleh diambil mudah.

Peruntukan Bahagian Keenam Perlembagaan yang membuat peruntukan berkaitan hubungan antara Persekutuan dengan negeri yang dibaca secara bersama dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan hendaklah difaham dengan roh dan niat ia dibuat. Peruntukan lain dalam Perlembagaan hendaklah juga dibaca dengan meraikan pembahagian kuasa ini.

Keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan penerbitan buku Allah, Love and Liberty yang dihujahkan sebagai kebebasan bersuara, adalah tepat iaitu pendekatan mengharmonikan semua peruntukan Perlembagaan dalam meraikan pengasingan kuasa antara Persekutuan dan negeri.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X