X
Rabu, 7 Oktober 2015 | 2:29pm

SPAD, LTA buat kaji selidik pasaran bersama bagi projek HSR

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD) dan Pihak Penguasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) hari ini melancarkan satu kaji selidik pasaran bersama melalui kaedah Permintaan Maklumat (RFI) mengenai projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura.

SPAD dan LTA, dalam satu kenyataan bersama, menyatakan sejak pengumuman HSR dalam Februari 2013, kedua-dua kerajaan telah berusaha untuk membangunkan secara lebih lanjut, projek strategik merentas sempadan ini.

"RFI ini adalah penanda aras bagi fasa projek HSR yang seterusnya. Ia direka sebagai eksesais perundingan untuk mengukur minat pasaran dalam projek itu serta mengumpul pendapat industri mengenai aspek komersial dan teknikal tertentu projek berkenaan," katanya.

Maklum balas yang diterima akan digunakan dalam perbincangan dua hala yang berterusan dan proses tender rasmi kemudiannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Menteri Penyelaras Infrastruktur dan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan, berkata RFI ini adalah mercu tanda yang signifikan dalam perjalanan HSR antara kedua-dua negara.

"Adalah penting untuk kami diberi makluman mengenai pandangan industri. Kami mahu eksesais ini untuk mengukur minat pasaran dalam projek berkenaan dan meminta pandangan mengenai model dan pendekatan yang berbeza.

"Maklum balas ini amat penting dalam membantu kami memperbaiki dan mengesahkan pilihan kami, dan seterusnya akan membantu memastikan proses tender yang berjaya kemudiannya," menurut kenyataan itu.

Eksesais RFI ini dijangka akan dimuktamadkan pada akhir tahun.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X