Rabu, 7 Oktober 2015 | 8:48pm

Kim Swee tuntut keputusan positif bertemu Laos

KETUA jurulatih sementara skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih sementara skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee berharap perlawanan bertemu Laos pada aksi persahabatan antarabangsa di Bangkok, Thailand, esok tidak diganggu masalah cuaca.

Menyifatkan tiada latihan di gelanggang sebenar, Stadium Tentera Thailand, hari ini menjelang perlawanan sebenar tidak menjejaskan, Kim Swee lebih berharap perlawanan itu tidak diganggu hujan yang memberikannya gambaran kepada kekuatan dan kelemahan skuad bimbingannya sebelum menempuh aksi Kelayakan Piala Dunia 2018/ Asia 2019 bertemu Timor Leste.

"Saya berharap keadaan tidak hujan esok dan ia akan beri satu gambaran kepada kelemahan dan kekuatan kita untuk kita perbaiki sebelum bertemu Timor Leste nanti," kata Kim Swee ketika ditemui media, hari ini.

Dalam pada itu, Kim Swee turut menuntut pemainnya memberikan aksi terbaik bagi mencipta kemenangan terutama dengan situasi Malaysia yang masih gagal meraih sebarang kemenangan, tahun ini.

"Sudah tentu penting seperti yang saya katakan, jika kita peroleh kemenangan, kejayaan, ia beri keyakinan kepada pemain dan bukannya untuk bermegah.

"Apa yang mustahak ialah keyakinan dan kita perlu mengekalkan komitmen seperti yang kita tunjukkan ketika bertemu Arab Saudi sebelum ini," katanya.

Seperti Malaysia, Laos juga tewas dua perlawanan sebelum ini namun bagi Kim Swee, keputusan itu tidak begitu memberi makna ketika ini.

"Kita tidak boleh menilai mereka dari dua perlawanan lepas merana kita tahu Laos juga bertambah baik dan kedudukan (ranking) kita juga tidak begitu jauh dengan mereka.

"Jadi kita tidak boleh mengambil mudah dan penting di sini kita perlu memikirkan corak permainan kita dan terus berdisiplin untuk terus tunjukkan karektor terutama ketika bertemu Arab Saudi tempoh hari bagi pertemuan dengan Timor Leste dan perlawanan seterusnya."

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X