Khamis, 8 Oktober 2015 | 12:04am
SEMANGAT 1Malaysia mekar jauh di pedalaman Sarawak
PENGALAMAN memeritkan duduk hampir 12 jam tanpa alas dalam perahu panjang sempit ketika menuju Long Busang. - Foto Kandau Sidi

Semangat 1Malaysia terserlah di pedalaman Sarawak


PERJALANAN lebih 12 jam, termasuk duduk mencangkung lebih lapan jam dalam perahu sempit di bawah terik matahari, antara pengalaman getir anggota rombongan Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) ketika mengadakan program komuniti di Long Busang, di sini, baru-baru ini.

Sesekali perahu terlanggar batu cukup membuatkan anggota rombongan, termasuk Pengerusi Pemuda BN Pusat, Khairy Jamaluddin Abu Bakar 'kecut perut', lebih-lebih lagi melihat arus deras Sungai Baleh sehingga membolehkan Empangan Hidroelektrik Bakun dibina di kawasan berhampiran.

Ia antara cabaran terpaksa ditempuh rombongan pemimpin muda ini, termasuk Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan ke kawasan penempatan 1,250 etnik Kenyah itu bagi menyelami sendiri kehidupan masyarakat pedalaman di Sarawak.

Bagaimanapun, kesukaran itu, terutama kekangan dari segi logistik hanya dianggap perkara biasa bagi penduduk di kawasan terpencil itu kerana sudah menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan mereka sejak 50 tahun lalu.

Malah, mereka menganggap kehidupan kini lebih baik selepas kerajaan membina empangan mega itu, yang banyak membantu memendekkan tempoh perjalanan ke pekan berhampiran, khususnya Belaga dan Kapit, bagi mendapatkan barangan keperluan harian.

"Jika 15 tahun dulu (sebelum Empangan Hidroelektrik Bakun dibina), kita mengambil masa hampir seminggu ke Kapit melalui Sungai Baleh kerana arus terlalu kuat, malah perahu boleh karam jika tidak berhati-hati atau tidak mahir 'membaca' arus.

"Itu sahaja pilihan pengangkutan kita ada, selain laluan balak yang mengambil masa lapan jam, malah turut berdepan risiko kemalangan dengan jentera pembalakan, selain laluan berselut dan licin, terutama selepas hujan," kata Ketua Kampung Long Busang, Yusuf Zawawi.

PERJALANAN menuju ke Long Busang menggunakan perahu.

Dengan pelbagai kekangan dihadapi, Long Busang seolah-olah terputus dengan dunia luar, namun masyarakatnya tidak pernah patah semangat dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Malah, segala kekurangan itu turut dijadikan mereka sebagai platform untuk memperkukuhkan institusi masyarakatnya bersandarkan kepada elemen keharmonian dan perpaduan.

Biarpun masih banyak penempatan lain di Sarawak yang jauh lebih terpencil, Long Busang memiliki semangat 1Malaysia sejati yang mungkin tidak terdapat di tempat lain di Malaysia.

Yusuf berkata, semangat Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi tunjang utama kemakmuran dikecapi di kawasan itu.

"Ada 250 penduduk beragama Islam, manakala selebihnya beragama Kristian. Namun, tidak berlaku isu agama di sini kerana masyarakatnya saling membantu. Dalam satu keluarga, orang Islam dan Kristian tinggal sebumbung.

"Malah, masjid pun dibina bersebelahan dengan gereja. Ketika Aidilfitri, ahli keluarga yang beragama Kristian turut membantu menyediakan juadah, begitu juga sebaliknya ketika sambutan Krismas. Amat sukar melihat semangat muhibah sebegini di tempat lain," katanya.

Katanya, masyarakat Long Busang lebih awal mengamalkan konsep Gagasan 1Malaysia dalam rutin kehidupan mereka sehingga menyumbang kepada keutuhan perpaduan masyarakatnya.

"Atas kesepakatan jitu itu, kami hidup aman dan makmur walaupun dalam keadaan yang serba-serbi kekurangan, terutama dari segi penyediaan kemudahan asas. Jika ada (kemudahan) yang boleh disediakan sendiri, kami akan membinanya secara gotong-royong," katanya.

PENEMPATAN Long Busang wujud sejak tahun 1910 dan terdiri daripada kaum Kenyah daripada etnik Dayak.

PENEMPATAN penduduk Long Busang.

Sebagai penyokong tegar Barisan Nasional (BN), penduduk setempat menginginkan pembangunan disalurkan ke Long Busang bagi memudahkan kehidupan harian, sekali gus meningkatkan sosioekonomi mereka.

Antara keperluan mendesak di kawasan penempatan yang wujud sejak tahun 1910 itu ialah klinik kesihatan, air bersih, dewan serba guna, elektrik dan kemudahan asas lain yang sering diperjuangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Belaga, Liwan Lagang, merangkap Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan Sarawak.

Yusuf berkata, berikutan kedudukan yang terpencil dan kekangan logistik, kawasan penempatan itu jarang sekali dikunjungi pemimpin Kerajaan Pusat, malah Khairy adalah Menteri Persekutuan pertama menjejakkan kaki di Long Busang.

Malah, keputusan pemimpin muda itu untuk tidak menaiki helikopter disediakan, sebaliknya memilih menggunakan perahu mengagumkan pelbagai pihak dalam usahanya menyelami denyut nadi rakyat, terutama masyarakat pedalaman di Sarawak.

KETUA Pemuda, Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaludin Abu Bakar (dua dari kanan) ketika melawat Long Busang, baru-baru ini. - Foto Kandau Sidi

Sementara itu, Liwan ketika ditemui BH, berkata kehadiran pemimpin berkenaan jelas membuktikan Kerajaan Persekutuan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tidak pernah melupakan aspek pembangunan di kawasan pedalaman dan luar bandar di negeri ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) menyatakan kerana sokongan padu penduduk setempat terhadap BN, kepemimpinan Pusat menjanjikan lebih banyak pembangunan akan dibawakan ke kawasan itu, terutama dalam penyediaan kemudahan sukan dan rekreasi.

"Ketika Empangan Hidroelektrik Bakun dibina, pembangkang mendakwa BN akan tewas (di Belaga) kerana penduduk setempat membantah pelaksanaan projek ini. Namun, bagi penduduk setempat, projek itu membawa banyak nikmat pembangunan, termasuk dari segi sosioekonomi.

"Bersandarkan pada pengalaman saya selama dua penggal mewakili DUN Belaga, jumlah undi saya bertambah (dalam pilihan raya). Ini jelas membuktikan keyakinan dan kepercayaan penduduk setempat terhadap keupayaan BN membawa pembangunan kepada mereka," katanya,

Bagaimanapun, kejayaan itu tidak pernah membuatkan Liwan leka, malah pelbagai usaha terus dilaksanakan bagi membantu penduduk setempat sebagai menghargai sokongan rakyat di peringkat akar umbi.

Kedudukan yang jauh di pedalaman bukan alasan untuk menafikan hak rakyat, khususnya dalam menerima perkhidmatan kesihatan. Ikuti siri 2, pembinaan klinik yang dilakukan penduduk secara gotong-royong dan harapan mereka.

Berita Harian X