Khamis, 8 Oktober 2015 | 11:11am

Shukri Yahaya nikah 20 November, cuti kahwin lima hari


SHUKRI Yahaya dan bakal isteri, Tya Adnan. - Foto ihsan: @pinographyofficial

KUALA LUMPUR: Shukri Yahaya akan melangsungkan pernikahannya dengan Tya Adnan pada 20 November ini di Putrajaya manakala resepsi persandingan berkonsepkan taman menyusul keesokannya di Cyberjaya.

Busana Lumiere Concept bakal membaluti tubuh dua mempelai itu untuk kedua-dua majlis. Tujuh dulang hantaran daripada Shukri akan dibalas dengan sembilan dulang oleh Tya.

Mengenai impian perkahwinan, Shukri di pihak lelaki ternyata lebih selesa memilih perkahwinan ringkas.

"Kalau ikutkan hati ini, saya nak buat akad nikah yang wajib saja dan kemudian ada keraian serba sedikit untuk menjamu tetamu serta saudara mara.

" ..tapi saya kenalah juga ikut kehendak bakal isteri. Kalau pihak perempuan nak itu dan ini, saya kenalah ikut. Tapi harap tak ada yang terlalu beriya-iya sangat. Insya-Allah ikut perancangan memang semua majlis akan diadakan di ibu kota," katanya.

Secara jujur Shukri menjelaskan persiapan kahwin banyak diserahkan kepada bakal isteri dan keluarganya kerana kesibukannya melunaskan baki penggambaran drama 13 episod Cik Cinderella Encik Tengku di samping Zahirah MacWilson bagi siaran TV3 slot Lestary.

"Saya akan cuti kahwin pun mungkin sekitar lima hari. Kemudian akan sambung balik penggambaran drama itu. Soal nak berbulan madu pun kena tangguh dahulu buat sementara waktu," katanya.

Berita Harian X