Khamis, 8 Oktober 2015 | 11:54am

Suami isteri antara 4 pegawai TLDM dituduh rasuah


PEGAWAI Kanan TLDM, Kapten Abdul Aziz Gaffor (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, atas lima pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan urusan pembekalan barangan TLDM. - Foto L Manimaran

IPOH: Pasangan suami isteri berpangkat Leftenan Komander antara empat pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 15 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram bernilai lebih RM1.3 juta.

Tertuduh ialah Lt Komander Rizalman Ghazali, 36, dan isterinya, Lt Komander Rozlin Mustafa, 33, dan Lt Komander S Kuvendran, 32, membabitkan nilai suapan lebih RM500,000 berkaitan urusan pembekalan di Pangkalan TLDM Lumut antara Jun tahun lalu hingga Mac lalu.

Ketiga-tiganya yang menghadapi 10 pertuduhan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Sementara, Kapten Abdul Aziz Gaffor, 54, menghadapi lima pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 bernilai lebih RM800,000.

Dia mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin.

Kedua-dua hakim menetapkan 11 November ini untuk kesemua kes itu disebut semula.

Berita Harian X