Khamis, 8 Oktober 2015 | 6:50pm

Sabah mampu atasi kekurangan guru ajar Pendidikan Islam

PEMBANTU Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (dua dari kiri) merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat negeri di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

SANDAKAN: Kerajaan Sabah mempunyai perancangan dalam mengatasi kekurangan guru anak tempatan untuk mengajar Pendidikan Islam di sekolah negeri ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ia termasuklah menghantar 200 pelajar dari Sabah mengikuti Pengajian Islam di Universiti Al-Azhar di Mesir, selain di beberapa universiti lain di negara ini.

"Pada masa sekarang di Sabah, terdapat ramai lulusan universiti di Mesir, Jordan dan Indonesia mampu mengisi kekurangan anak tempatan mengajar Pendidikan Islam di sekolah di negeri ini," katanya di sini, hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat negeri, Mohd Arifin menggesa lepasan universiti berkaitan Pendidikan Islam di negeri ini, merebut peluang disediakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) bagi mengatasi kekurangan guru anak tempatan mengajar subjek itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga mempunyai perancangan membina sekolah menengah agama berteraskan sains dan memperbanyakkan pembinaan pusat tahfiz di negeri ini.

Katanya, pada masa ini, terdapat masing-masing 104 Sekolah Agama Negeri dan Sekolah Agama Rakyat di Sabah.

Beliau berkata, pelajar di sekolah itu yang berjaya, akan meneruskan Pengajian Islam di universiti dan boleh digemblengkan menjadi tenaga pengajar di negeri ini.

Pada Selasa lalu, Pengarah JPNS, Datuk Jame Alip dipetik sebagai berkata bahawa kekurangan guru anak tempatan yang mengajar Pendidikan Islam di Sabah ketika ini, berada pada tahap kritikal.

- BERNAMA

Berita Harian X