Khamis, 8 Oktober 2015 | 6:55pm

Harimau Malaya akhiri kemarau, benam Laos 3-1

PASUKAN Harimau Malaya yang menentang Laos sebentar tadi.

KUALA LUMPUR: Kemenangan yang ditagih ketua jurulatih sementara skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee berjaya dijelmakan Harimau Malaya dengan membenam Laos 3-1 pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Bangkok, Thailand, sebentar tadi.

Lebih melegakan, kemenangan di Stadium Tentera Thailand ini meleburkan kemarau kemenangan pasukan negara yang gagal mencatat kemenangan dalam tujuh perlawanan tahun ini.

Hadir dengan misi 'mencari semangat' menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/ Asia 2019 bertemu Timor Leste, 13 Oktober ini, Malaysia begitupun seakan lambat panas apabila perlawanan babak pertama berkesudahan tanpa jaringan.

Begitupun, kedudukan berubah lima minit memasuki babak kedua apabila menerusi jaringan Christie Jayaseelan yang tidak mensia-siakan peluang terhidang di depan gawang Laos.

Kedudukan sekali lagi berubah, tiga minit kemudian apabila rembatan pemain Pahang, Azammuddin Akil terbias pertahanan Laos dan mengelirukan penjaga gol, Vanhnasith Thilavongsa.

Laos sebelum itu kehilangan kapten yang juga penjaga gol, Phoutpasong Sengdalavong pada babak pertama permainan.

Pada minit ke-82, gawang Malaysia akhirnya bocor pada minit ke-82 apabila Laos memperoleh sepakan penalti yang disempurnakan Sitthideth Khanthavong.

Sekalipun peluang terbaik negara untuk menambah jaringan disia-siakan Safee Sali yang gagal menyempurnakan penalti pada masa kecederaan, Christie apabila tenang menyumbat gol ketiga pada minit ke-92.

Pada perlawanan ini, Kim Swee menggunakan kesemua enam pemain gantian yang dibenarkan untuk menilai gambaran perlawanan menjelang aksi bertemu Timor Leste.

Pada perlawanan pertama di Kuala Lumpur, Malaysia yang ketika itu dibimbing Dollah Salleh seri 1-1 bertemu Timor Leste.

Berita Harian X