Jumaat, 9 Oktober 2015 | 12:04am
POKOK bakau yang ditanam, tumbang akibat hakisan pantai di Kampung Seri Menanti Laut. - Foto Syarafiq Abd Samad
POKOK bakau yang ditanam, tumbang akibat hakisan pantai di Kampung Seri Menanti Laut. - Foto Syarafiq Abd Samad

Penduduk pantai Muar harap pokok api-api jadi pelindung


'SEKALI air bah, sekali pantai berubah'.

Itulah adalah perumpamaan yang tepat bagi menggambarkan keadaan pesisir pantai di Muar, Johor, yang semakin terhakis teruk.

Walaupun kerajaan sudah mengambil inisiatif dengan membina benteng batu serta penanaman semula pokok bakau di kawasan ini sudah dilakukan sejak beberapa tahun lalu, usaha itu tidak berkesan dalam menangani masalah alam semula jadi itu.

Tinjauan BH di Kampung Parit Rabu dan Kampung Seri Menanti Laut, di sini, mendapati hakisan pantai tetap berlaku meskipun pelbagai kaedah sudah dilakukan bagi menangani masalah berkenaan.

Malah, beberapa pokok bakau yang ditanam semula oleh Jabatan Perhutanan Negeri Johor juga gagal menahan asakan ombak laut sehingga ada yang sudah tumbang dan mati.

Selain itu, benteng konkrit dan batu yang dibina sebelum ini juga sudah pecah dan ditenggelami pasir menyebabkan usaha terbabit gagal menyelesaikan masalah hakisan pantai.

HAKISAN sehingga menampakkan akar pokok di pantai Parit Penyengat Laut, Muar. - Foto Shaiffulazhar Misri
HAKISAN sehingga menampakkan akar pokok di pantai Parit Penyengat Laut, Muar. - Foto Shaiffulazhar Misri

POKOK bakau yang ditanam semula oleh Jabatan Perhutanan Negeri Johor gagal menahan asakan ombak laut sehingga ada yang sudah tumbang dan mati.
POKOK bakau yang ditanam semula oleh Jabatan Perhutanan Negeri Johor gagal menahan asakan ombak laut sehingga ada yang sudah tumbang dan mati.

Mohamad Md Yassin, 52, yang berpengalaman lebih 35 tahun sebagai nelayan berkata, pokok bakau sahaja tidak mampu untuk menangani masalah hakisan di kawasan itu.

Keadaan pokok bakau dengan akarnya yang berceracak, katanya, tidak mampu mencengkam tanah dengan kuat khususnya di kawasan berlumpur menyebabkan ia tumbang setiap kali gelombang kuat berlaku.

Mohamad mencadangkan penanaman pokok api-api, dijalankan berikutan ciri pokok itu. Pokok api-api mempunyai akar serabut, yang membolehkannya mencengkam tanah dengan lebih kuat dan mampu menahan ombak yang kuat.

"Ia sukar untuk tumbang walaupun ketika gelombang yang kuat. Kalau mengikut pengalaman kami sebagai nelayan, pokok api-api ini juga perlu ditanam semula di hadapan pokok bakau. Ini kerana kombinasi kedua-dua tumbuhan semula jadi kawasan paya pantai ini mampu menangani masalah hakisan," katanya.

Beliau berkata, walaupun pokok api-api ini bersifat lebih dinamik, tumbuhan terbabit yang tumbuh berselerak menyebabkan ia sering ditebang kerana ia dipercayai memburukkan pemandangan di kawasan pantai.

BENTENG konkrit dan batu yang dibina sebelum ini sudah pecah dan ditenggelami pasir berikutan hakisan pantai.
BENTENG konkrit dan batu yang dibina sebelum ini sudah pecah dan ditenggelami pasir berikutan hakisan pantai.

"Saya tidak tahu kenapa orang menebang pokok api-api ini kerana ia antara tumbuhan liar yang mampu menangani hakisan ini. Dulu, kawasan ini banyak pokok api-api tetapi ia ditebang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, mungkin untuk mendapatkan kayunya.

"Pokok api-api ini adalah tumbuhan liar dan ia hidup dengan sendirinya. Kami juga tidak tahu bagaimana untuk menanamnya kerana ia tidak mempunyai benih atau tunas seperti pokok bakau atau nipah untuk ditanam semula," katanya.

Justeru, beliau mencadangkan kepada pihak berwajib dan juga pakar daripada institusi pengajian tinggi (IPT) untuk melakukan kajian mengenainya.

"Sekiranya pokok api-api ini mampu menangani masalah hakisan, tidak salah jika kita turut menanam semula tumbuhan ini bersama pokok bakau. Apa yang lebih penting adalah keberkesanannya dalam menangani masalah alam semula jadi ini.

"Jika ia terbukti berkesan, mungkin kita boleh tanam pokok terbabit bukan sahaja di kawasan ini, tetapi juga memperluaskannya ke seluruh negara khususnya di kawasan yang dikesan turut mengalami masalah yang sama," katanya.

KEADAAN pokok bakau dengan akarnya yang berceracak tidak mampu mencengkam tanah dengan kuat khususnya di kawasan berlumpur.
KEADAAN pokok bakau dengan akarnya yang berceracak tidak mampu mencengkam tanah dengan kuat khususnya di kawasan berlumpur.

Penduduk, Amri Nayan, 32, berkata walaupun benteng konkrit dan batu serta projek tanaman semula pokok bakau tidak begitu berjaya, ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan sedikit kadar hakisan yang berlaku.

"Sebelum ini, kawasan pesisir pantai ini sememangnya terhakis akibat ombak besar yang melanda, khususnya pada musim tengkujuh.

"Namun, tindakan pantas kerajaan membina benteng batu dan tanaman semula pokok bakau ini, dapat memperlahankan sedikit kejadian hakisan ini.

"Bagaimanapun, masalah lain pula yang timbul, apabila pantai ini mula menjadi cetek, selain keadaan pasir yang menutupi muka kuala Parit Rabu hingga menyebabkan nelayan sukar untuk keluar menangkap ikan," katanya ketika ditemui BH.

Amri berkata, pihaknya difahamkan keadaan pantai yang cetek ini adalah disebabkan oleh mendapan tanah tebing yang dihakis ombak hingga mewujudkan kawasan beting pasir yang agak luas.

POKOK api-api dan pokok bakau perlu ditanam semula kerana kombinasi kedua-duanya mampu menangani masalah hakisan.
POKOK api-api dan pokok bakau perlu ditanam semula kerana kombinasi kedua-duanya mampu menangani masalah hakisan.

"Selain menutupi kuala, masalah ini juga mengancam ekosistem hidupan laut di kawasan ini kerana ia menyebabkan anak ikan tidak dapat hidup dan membesar dengan baik.

"Malah, keadaan pokok bakau yang tumbang dan mati ini juga menyebabkan beberapa spesies hidupan akuatik seperti kerang, kepah, ketam dan siput tidak dapat lagi hidup di sini," katanya.

Justeru, pihaknya berharap kerajaan khususnya pihak berwajib dapat mengkaji dan mencari kaedah terbaik untuk menangani masalah itu demi kebajikan penduduk dan generasi akan datang.

Seorang lagi penduduk, Rahmat Senan, 53, berkata walaupun projek tambatan di pesisir pantai terbabit dapat memperlahankan hakisan di pantai berkenaan, ia tidak mengambil kira keadaan muka bumi dan cuaca sebenar di kawasan itu menyebabkan ia kurang berkesan.

"Hakisan ini banyak dipengaruhi oleh faktor tiupan angin. Hakisan menjadi teruk apabila angin barat dan selatan bertiup kerana ia akan menyebabkan ombak dan gelombang laut yang lebih besar berbanding dengan tiupan angin barat laut.

"Ini menyebabkan projek pembinaan benteng pemecah ombak menjadi kurang efektif," katanya.

Hakisan pantai menjejaskan pendapatan nelayan. Bukan sahaja kerana hidupan akuatik yang berkurangan, malah golongan ini 'bergelut' setiap kali mahu ke laut. Ikuti luahan hati nelayan dalam siri seterusnya.

Berita Harian X