Jumaat, 9 Oktober 2015 | 12:06am
PEMANDANGAN di sekitar perkampungan di daerah Belaga.

Penduduk Long Busang berperahu 8 jam untuk temui doktor


MEREKA terpaksa bergantung kepada perkhidmatan doktor udara untuk mendapatkan rawatan kesihatan. Namun, tidak semuanya berjalan lancar kerana faktor cuaca sering kali membataskan perkhidmatan itu.

Kesulitan 1,250 penduduk Long Busang untuk mendapatkan rawatan kesihatan yang baik itu sudah berlarutan lebih 50 tahun. Pada masa ini, pilihan lain untuk penduduk kampung terpencil ini ialah mengharungi lapan jam perjalanan menaiki perahu untuk mendapatkan rawatan di klinik dan hospital berhampiran. 

Menyedari kesulitan yang dialami penduduk, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Liwan Lagang dengan kerjasama penduduk setempat mengambil inisiatif membina Klinik Kesihatan Long Busang secara gotong royong, tanpa bergantung pada bantuan kerajaan.

Memanfaatkan dana diperuntukkan kepadanya, Liwan membeli pelbagai bahan binaan bagi tujuan membina klinik berkenaan, yang menggunakan kemahiran pertukangan dimiliki penduduk setempat dengan bantuan Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Kelab Belia Belaga.

PENDUDUK Long Busang terpaksa mengharungi perjalanan selama lapan jam dengan menaiki perahu untuk mendapatkan rawatan di klinik dan hospital berhampiran. - Foto Kandau Sidi

"Kita sedar kekangan logistik mewujudkan pelbagai kesukaran di kawasan ini. Namun, saya sentiasa mengingatkan penduduk supaya sentiasa bersemangat tinggi untuk memperbaiki taraf hidup mereka tanpa terlalu bergantung pada kerajaan.

"Berikutan wujudnya keperluan mendesak terhadap kemudahan kesihatan, kita mengambil inisiatif membina sebuah klinik kesihatan.

"Kita tidak boleh bergantung dengan khidmat doktor udara yang tidak menentu disebabkan faktor cuaca," katanya kepada BH.

Liwan yang juga Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan Sarawak cukup berbangga dengan semangat kerjasama warga Long Busang sehingga membolehkan klinik kesihatan yang mula dibina pada April itu disiapkan dalam tempoh singkat.

PENDUDUK Long Busang membina sendiri klinik kesihatan secara bergotong-royong.

Klinik Kesihatan Long Busang sudah siap dibina dan boleh beroperasi pada bila-bila masa. Cuma, penduduk kini berharap Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan dapat menempatkan segera petugas perubatan di situ.

Ketika ini, selain khidmat doktor udara, penduduk setempat mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Sarawak Hydro yang terletak dalam kawasan Empangan Hidroelektrik Bakun dan Klinik Kesihatan Kapit, masing-masing mengambil masa lebih kurang lapan jam hingga sembilan jam perjalanan menggunakan perahu panjang dan jalan balak.

Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin Abu Bakar, yang mengunjungi penempatan itu, baru-baru ini, menggesa agar klinik berkenaan dilengkapkan pelbagai kemudahan dan peralatan, malah Kementerian Kesihatan perlu menempatkan segera petugas perubatan supaya ia dapat memulakan operasinya.

Beliau yang mengetuai Program Pemuda BN Bersama Komuniti Long Busang, berkata perkhidmatan itu amat diperlukan di kawasan berkenaan kerana kedudukannya yang begitu jauh dari mana-mana klinik kesihatan dan hospital berhampiran.

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Liwan Lagang.

"Insiatif dilaksanakan ADUN Belaga, Liwan Lagang, begitu juga masyarakat Long Busang sendiri membina klinik ini secara gotong-royong amat dikagumi."

Justeru, Kementerian Kesihatan perlu membantu mereka melalui penyediaan kemudahan dan peralatan yang sesuai untuk digunakan di klinik ini.

"Kita (Pemuda BN) akan memastikan Kementerian Kesihatan memberi tumpuan terhadap usaha ini bagi memastikan masyarakat Long Busang dapat menikmati kemudahan kesihatan terbaik, malah setimpal dengan sokongan tidak berbelah bahagi mereka kepada BN selama ini," katanya.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata dengan adanya petugas perubatan di Klinik Kesihatan Long Bisang, ia tentunya memberi banyak manfaat dari segi rawatan awal dan kemudahan bersalin kepada penduduk setempat yang kebanyakannya berketurunan Orang Ulu, Kenyah dan Penan.

Berita Harian X