Jumaat, 9 Oktober 2015 | 11:37am

FA England, Jerman tuntut FIFA panggil mesyuarat tergempar

LONDON: Persatuan bola sepak England dan Jerman hari ini menuntut agar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengadakan mesyuarat tergempar susulan penggantungan badan induk dunia itu terhadap Presidennya, Sepp Blatter dan Presiden UEFA, Michel Platini.

UEFA yang mengandungi 54 anggota juga akan mengadakan mesyuarat khas yang dijangka Khamis depan bagi membincangkan kedudukan dan masa depan Platini, demikian menurut sumber rapat UEFA.

UEFA dijangka menamakan pengganti sementara Presiden badan induk bola sepak Eropah itu sepanjang 90 hari Platini dikenakan larangan daripada sebarang urusan bola sepak antarabangsa.

Presiden Bola Sepak Sepanyol, Angel Maria Villar Llona, yang juga bekas pemain Athletic Bilbao adalah Naib Presiden Kanan UEFA yang dijangka mengambil alih tempat Platini.

Blatter digantung selepas penyiasat Switzerland membuka kertas siasatan mengenai kes jenayah dalam pentadbiran FIFA.

Platini dinamakan dalam siasatan kes rasuah lebih AS$2 juta (1.8 juta euro) menerusi satu pembayaran dari FIFA.

"David Gill, anggota Eksekutif FIFA dari Britain bersama Wolfgang Niersbach, wakil Jerman hari ini menuntut agar satu mesyuarat tergempar diadakan untuk membincangkan perkembangan terbaharu itu," kata Persatuan Bola Sepak England (FA England) dalam satu kenyataan.

"Ia satu hari yang amat mengecewakan dunia bola sepak. Kami yakin Jawatankuasa Etika FIFA melakukan siasatan dengan bebas, tegas dan tepat pada masanya," kata FA England.

Niersbach berkata, UEFA perlu memanggil mesyuarat khas bagi memastikan sama ada Platini wajar meneruskan pencalonannya untuk kerusi nombor satu FIFA. - AFP

108 dibaca
Berita Harian X