X
Sabtu, 10 Oktober 2015 | 12:04am
NELAYAN, Hirwan Shah Saadon. - Foto Shaiffulazhar Misri
NELAYAN, Hirwan Shah Saadon. - Foto Shaiffulazhar Misri
NELAYAN di Pangkalan Nelayan Parit Rabu, Kampung Seri Menanti Laut memeriksa bot dan peralatan menangkap ikan ketika air surut. - Foto Syarafiq Abd Samad
NELAYAN di Pangkalan Nelayan Parit Rabu, Kampung Seri Menanti Laut memeriksa bot dan peralatan menangkap ikan ketika air surut. - Foto Syarafiq Abd Samad
POKOK tumbang akibat hakisan pantai. - Foto Shaiffulazhar Misri
POKOK tumbang akibat hakisan pantai. - Foto Shaiffulazhar Misri

Nelayan tunggu air pasang untuk ke laut dan pulang bawa tangkapan


SEKUMPULAN nelayan yang ditemui mengakui hakisan pantai yang berlaku menjejaskan pendapatan mereka. Lebih memburukkan keadaan dakwa mereka, projek tebatan yang dijalankan di situ bagi menangani masalah hakisan menyebabkan hidupan laut berkurangan.

Nelayan, Mohd Amin Karmain, 40, berkata disebabkan masalah itu, nelayan terpaksa bergantung pada jadual air pasang surut laut yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia jika ingin keluar menangkap ikan.

Katanya, hanya apabila air pasang, nelayan boleh ke laut. Ketika air surut, katanya, kuala menjadi terlalu cetek sehingga menyukarkan kerja mengeluarkan bot dari jeti ke kawasan laut.

"Begitu juga ketika ingin pulang, kami perlu menunggu air kembali pasang, barulah boleh membawa tangkapan ikan ke pangkalan ini. Kadang-kadang terpaksa menunggu sehingga dua jam atau lebih kerana jangka masa air pasang ini hanya sekitar enam jam untuk sehari.

"Malah, fenomena air pasang yang bersifat semula jadi ini juga tidak menentu kerana ia boleh berlaku pada bila-bila masa, sama ada pada awal pagi, tengah hari, petang mahu pun malam. Nak tak nak, kena juga tunggu air pasang, barulah kami boleh ke laut," katanya.

Hirwan Shah Saadon, 31, berkata hakisan pantai juga menyebabkan hidupan laut seperti kijing, kerang, ketam nipah, mentarang, lokan dan siput, yang dulunya banyak di situ semakin berkurangan.

KEADAAN bot nelayan yang tersekat di beting pasir di kuala di Parit Rabu, Kampung Seri Menanti akibat hakisan pantai. - Foto Syarafiq Abd Samad
KEADAAN bot nelayan yang tersekat di beting pasir di kuala di Parit Rabu, Kampung Seri Menanti akibat hakisan pantai. - Foto Syarafiq Abd Samad

"Selain tangkapan, kami juga terpaksa menampung kos lain khususnya kerosakan enjin bot. Ini kerana keadaan laut yang cetek menyebabkan pasir dan lumpur masuk ke dalam saluran enjin. Kos membaik pulihnya juga mahal iaitu kira-kira RM200 ke atas, bergantung pada tahap kerosakannya," katanya.

Tinjauan BH di lokasi mendapati keadaan kuala di kawasan terbabit sememangnya cetek dan beting pasir kelihatan walaupun lebih 100 meter dari kawasan daratan.

Beting pasir ini dikatakan terbentuk akibat hakisan pantai di kawasan terbabit. Hakisan itu menghakis kawasan pesisir pantai dan membentuk mendapan pasir di dalam laut menyebabkan ia semakin cetek.

Bagi mendapatkan gambaran sebenar, wartawan BH turut dibawa oleh nelayan, Mustafa Muhamadiah, 54, untuk merasai sendiri keperitan yang dihadapi oleh nelayan setiap kali turun ke laut bagi mencari rezeki. Wartawan juga terpaksa bersama-sama Mustafa menolak bot untuk ke laut berikutan tersekat di beting pasir.

"Inilah masalah yang kami hadapi setiap hari. Untuk keluar menangkap ikan, kami bukan hanya berdepan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, tetapi juga masalah beting pasir ini kerana ia menghalang nelayan dari kawasan kuala ke laut.

"Keadaan menjadi lebih teruk jika keadaan air surut besar kerana kawasan pesisir pantai akan mengering hingga beberapa meter ke arah laut.

NELAYAN terpaksa bergantung pada jadual air pasang surut laut untuk keluar menangkap ikan. - Foto Syarafiq Abd Samad
NELAYAN terpaksa bergantung pada jadual air pasang surut laut untuk keluar menangkap ikan. - Foto Syarafiq Abd Samad

"Ia akan menyebabkan bot tersangkut di atas beting pasir terbabit sehingga menyebabkan kami terpaksa menggunakan kayu panjang untuk menolak bot sama ada untuk keluar atau masuk ke kuala Parit Rabu ini," katanya.

Beliau berkata, masalah terbabit hanya akan dapat diatasi sekiranya sebuah tembok batu dibina dari kawasan kuala hingga ke tengah laut.

Ia diyakini dapat menghalang pasir serta selut daripada memenuhi kawasan muka kuala.

"Itu antara jalan alternatif yang dapat dilakukan. Sekiranya ia tidak dilakukan, ia boleh menyebabkan lumpur terbabit mengeras akibat panas matahari dan akhirnya membentuk beting pasir yang lebih besar, seterusnya menutup terus kuala ini.

"Jika keadaan ini berlaku, ia bukan sahaja lebih menyukarkan nelayan untuk turun ke laut tetapi apa yang lebih merisaukan ia mampu menyebabkan banjir di sebelah hulu dan bahagian daratan yang lain, khususnya pada musim hujan.

"Malah, kejadian seperti banjir termenung yang kadang kala berlaku di kawasan ini juga turut disebabkan saliran air sungai dan parit di kawasan ini gagal untuk mengalir terus ke laut akibat keadaan kuala yang seolah-olah kian tertutup dan tersumbat akibat masalah beting pasir ini," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X