Sabtu, 10 Oktober 2015 | 7:04am

FMBH 2015: Zareeth Zehra tawar potongan harga sehingga 70 peratus

ANTARA koleksi butik Zareeth Zehra yang boleh didapati sempena FMBH 2015 di MECC pada 24 dan 25 Oktober ini.

KUALA LUMPUR: Zareeth Zehra menawarkan potongan harga sehingga 70 peratus bagi beberapa koleksi terpilih keluarannya sebagai tarikan kepada pengunjung Fiesta Muslimah BH 2015 (FMBH 2015) pada 24 dan 25 Oktober ini.

Butik berkenaan juga menyediakan 200 tudung jenama sama untuk diedarkan kepada orang ramai yang mengunjungi fiesta anjuran akhbar BH yang akan berlangsung di Pusat Pameran Konvensyen MATRADE (MECC), di sini.

Pengurus Zareeth Zehra, Nur Saqinah Ali yang mengambil empat gerai jualan, menyasarkan pungutan sehingga RM300,000 sepanjang fiesta berkenaan berdasarkan sambutan baik yang diterima daripada pengikut mereka setiap kali menyertai acara seumpama ini.

"Tawaran harga 'happy hour' sehingga serendah RM100 untuk dua pasang pakaian hanya untuk tempoh tertentu sepanjang fiesta. Koleksi ditawarkan pula menjadi pilihan kebanyakan peminat dan pengikut setia butik ini sejak kami melancarkan jualan secara atas talian setahun lalu," katanya.

Nur Saqinah berkata, potongan harga menarik turut ditawarkan bagi empat koleksi kurung dan jubah yang baharu dilancarkan butiknya, iaitu Koleksi Jubah Lace Dion, Kurung Bella Stripes, Kurung Matilda dan Jubah Nik Amani yang dijual antara RM199 hingga RM299 bagi harga butik dan serendah RM139 di FMBH 2015.

"Bagi koleksi jubah terpilih lain, kami juga menawarkan harga pakej antara RM60 hingga RM199 untuk beberapa pasang jubah atau baju kurung. Kami yakin dengan gerai jualan lebih besar yang menawarkan keselesaan untuk pelanggan, Zareeth Zehra akan lebih menyerlah dan menjadi tumpuan," katanya.

ANTARA koleksi butik Zareeth Zehra yang boleh didapati sempena FMBH 2015 di MECC pada 24 dan 25 Oktober ini.

Katanya, Zareeth Zehra yang memiliki butik tunggal di Segamat, Johor juga akan membawa semua koleksinya ke FMBH 2015 bagi menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengunjung.

Sementara itu, Nur Saqinah menyifatkan penganjuran FMBH 2015 sebagai peluang terbaik bagi pemilik butik Muslimah memperluaskan pasaran dan pengaruh, malah yakin ia akan banyak membantu Zareeth Zehra untuk lebih dikenali.

"Kami hanya memiliki satu butik di Segamat, namun koleksi Zareeth Zehra boleh didapati di Vendville, Kota Damansara; Rumoda, Bangsar; Jadora Concept, Bangi dan Dream Boutique Cafe, Terengganu," katanya.

FMBH 2015 yang bertujuan memartabatkan fesyen Muslimah tempatan adalah yang kedua diadakan, kali ini pada skala besar dengan 100 bazar jualan menjual pelbagai jenama fesyen dan menyasarkan lebih 80,000 pengunjung.

Selain membeli-belah sambil berhibur, pengunjung berpeluang mendekati selebriti tempatan, ikon fesyen dan mengikuti program bual bicara. Antara pempamer, termasuk barisan selebriti, antaranya Nur Fazura, Neelofa, Emma Maembong, Rozita Che Wan dan Memey Suhaiza serta pakar motivasi, Prof Dr Muhaya Muhamad.

Berita Harian X