Selasa, 30 September 2014 | 4:57pm
ATLIT Malaysia, Mohamad Faizal Norizan dan Ahmad Syukri Abdul Aziz acara 420 Men's two person Dinghy di Wangsan Sailing Marina, Incheon. - Foto Rosli Rahmat
ATLIT Malaysia, Mohamad Faizal Norizan dan Ahmad Syukri Abdul Aziz acara 420 Men's two person Dinghy di Wangsan Sailing Marina, Incheon. - Foto Rosli Rahmat

Sukan Asia: Kontinjen negara ceria menang pingat emas sukan layar

INCHEON: Sukan layar mengembalikan keceriaan kontinjen negara pada temasya Sukan Asia Ke-17, hari ini - yang sebelum ini terkejut dengan penarikan balik pingat emas atlet wushu, Tai Cheau Xuen selepas gagal ujian doping.

Mohamad Faizal Norizan dan Ahmad Syukri Abdul Aziz meraih pingat emas dengan mengungguli acara 420 Lelaki Dinghy dengan mengumpul 21 mata penalti selepas 12 perlumbaan di Wangsan Sailing Marina.

Skuad layar turut menang tiga perak dalam saingan masing-masing pada hari yang sama.

Dalam acara 420 Lelaki Dinghy, perak dimenangi Ibuki Koizumi-Kotaro Matsuo dari Jepun dengan 27 mata penalti manakala gangsa menjadi milik Loh Jia Yi-Jonathan Yeo dari Singapura dengan 41 mata penalti.

Mohamad Faizal, selaku jurumudi, berkata dia dan Ahmad Syukri gembira dapat menamatkan perlumbaan itu dengan jayanya, selepas acara itu ditangguhkan semalam kerana faktor cuaca.

"Saya dan Ahmad Syukri tidak tertekan walaupun pasangan Singapura dan Jepun bersungguh-sungguh mahu mengatasi kami," katanya, hari ini.

Tiga perak kontinjen negara acara layar dimenangi menerusi Khairulnizam Afendy dalam acara Laser Lelaki, Dhiauddin Rozaini (Optimist Lelaki) dan Nuraisyah Jamal-Umi Norwahidah Sallahuddin (420 Wanita).

Pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, pingat emas dimenangi menerusi gandingan Khairunnisa Mohd Afendy dan Norashikin Mohd Sayed dalam kelas 420 Wanita Antarabangsa.

Pada Sukan Asia 2006 di Doha, Malaysia meraih satu pingat emas menerusi Rufina Tan dalam kelas Optimist.

Setidak-tidaknya kejayaan emas dari sukan layar ini berjaya menampung suasana muram sebelum ini selepas emas dimenangi atlet wushu wanita negara, Cheau Xuen ditarik balik kerana positif dadah, hari ini.

Atlet berusia 24 tahun itu yang menjadi penyumbang emas pertama negara didapati menggunakan dadah perangsang jenis sibutramine, menurut kenyataan Majlis Olimpik Asia (OCA), hari ini.

Cheau Xuen yang beraksi dalam acara nanquan dan nandao disahkan positif dalam ujian terhadap sampel yang diambil selepas dia menangi emas pada 20 September lalu. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X