Ahad, 11 Oktober 2015 | 12:30am

Saya bukan penagih dadah - Mimi Lana


MELALUI detik hitam apabila merengkuk dalam lokap selama 11 hari menginsafkan pelakon baharu, Mimi Lana, 20.

Semua yang berlaku itu bukan berpunca daripada kesilapannya. Pelakon yang mencipta nama menerusi drama rantaian, Ku Tinggal Cinta Di Okinawa itu, tidak bernasib baik apabila berada di tempat dan waktu yang salah.

Mimi bersama dua rakan iaitu pelakon baharu, Natasha Elyzza Rohishim, 21 dan Fivi Mae, 17, ditahan selepas kediaman mereka di Subang Jaya, Selangor, diserbu pasukan polis pada 18 September lalu.

Dalam serbuan itu, polis menemui satu beg mengandungi tiga paket plastik lutsinar berisi ceraian daun kering, dipercayai ganja seberat 15.74 gram dan bilah pisau atas almari baju dalam bilik kedua kediaman berkenaan.

Pemeriksaan polis turut menemui satu beg kertas mengandungi dua paket plastik lutsinar setiap satu mengandungi satu ketulan mampat berisi bahan disyaki ganja seberat 609.66 gram pada bilik ketiga.

Hasil geledah kediaman juga menemui satu paket plastik lutsinar berisi bahan dipercayai ganja seberat 2.19 gram di ruang tamu.

Mimi dan dua temannya itu, bagaimanapun dibebaskan pada 29 September lalu selepas hasil siasatan mendapati dadah berkenaan bukan milik mereka. Ikuti luahan hati anak kelahiran Taiping, Perak itu secara eksklusif bersama wartawan.


PELAKON, Mimi Lana. - Foto Rohanis Shukri

Apa sebenarnya berlaku pada malam kejadian?

Saya tidak tahu apa-apa kerana ketika itu baru pulang dari menjalani penggambaran drama, Cinta Samar di Pulau Pinang. Disebabkan terlalu penat, saya tidur dan ketika serbuan dibuat kira-kira jam 11 malam, saya sedang tidur. Saya terpinga-pinga, namun membiarkan polis menjalankan tugas mereka.

Natasha tidak menetap di rumah itu, cuma kebetulan datang untuk membawa saya keluar. Disebabkan saya tertidur, Natasha terpaksa menunggu manakala teman serumah, Fivi Mae, pula berada dalam biliknya.

Saya tidak terfikir sesuatu yang buruk, malah menyangka mungkin ada yang membuat laporan kami bising. Biasalah tinggal di rumah bujang.

Tetapi apabila polis menggeledah setiap inci rumah, saya mula tidak sedap hati. Apabila polis menemui bahan yang disyaki dadah dalam bilik dan ruang tamu, kami terperangkap. Kami dibawa ke balai polis dan ditahan reman bagi membantu siasatan kerana ini kes berat.

Angkara siapa hingga Mimi terheret sama?

Saya menyewa kediaman selepas diperkenalkan seorang rakan kepada suspek. Saya berpindah sejak Aidilfitri lalu.

Jujurnya, saya tidak mengenali suspek secara rapat, malah tidak tahu apa pekerjaannya. Lagipun, kami jarang bertemu. Saya balik hanya untuk tidur kerana banyak masa dihabiskan di lokasi penggambaran.

Rumah itu mempunyai empat bilik dan saya menyewa bilik paling kecil. Enam orang menyewa rumah ini tetapi ketika serbuan, hanya saya dan Fivi Mae ada di situ. Suspek pula sudah ditahan lebih awal.


MIMI Lana anggap diri tidak bernasib baik apabila rumah diserbu polis. - Foto Aziah Azmee

Ada gosip timbul mengatakan Mimi diperangkap kekasih?

Saya pun ada mendengarnya. Keluarga saya terkejut apabila cerita itu tersebar kerana saya sebenarnya, belum ada kekasih.

Bagaimana kesan penahanan ini terhadap kerjaya Mimi?

Saya direman selama 11 hari kerana kes ini besar. Apabila berita penahanan saya menjadi viral, terutama di laman maya, ia memberi impak yang besar kepada kerjaya.

Ada maklumat yang disebarkan tidak benar. Saya kecewa apabila dianggap seperti penjenayah, sedangkan saya ditahan untuk membantu siasatan.

Saya bukan pengedar dadah! Ketika direman, saya menangis siang malam memikirkan kerjaya lakonan yang baru bermula mungkin hancur berkecai. Masa depan saya gelap.

Saya bertambah sedih mengenangkan ibu bapa di kampung yang terpaksa menanggung malu besar.

Tetapi, siapa saya mahu melawan kehendak takdir? Saya bukan penagih atau pengedar dadah, tetapi saya terperangkap oleh keadaan.

Bagaimana Mimi berdepan dengan keluarga?

Ketika di tahan reman, saya memohon kepada polis untuk merahsiakan berita penahanan saya daripada pengetahuan keluarga.

Saya bimbang ibu bapa susah hati. Tetapi, apabila ia menjadi viral, saya tidak mampu bersembunyi lagi. Keluarga datang melawat selepas empat hari saya di lokap.

Keluarga terima penjelasan Mimi?

Mereka lebih kenal siapa saya, malah tidak percaya saya terbabit dengan bahan terlarang. Apatah lagi, saya anak tunggal dalam keluarga.

Tidak mudah untuk mereka bertemu saya. Hanya selepas empat hari, baru dibenarkan.

Ibu bapa banyak memberi kata semangat dan kekuatan supaya tidak tertekan. Mereka percaya saya tidak bersalah dan ia adalah penganiayaan.

Bagaimana kes itu sekarang?

Saya bersyukur selepas 11 hari menanggung azab ditahan di lokap, akhirnya saya dibebaskan. Suspek pula masih ditahan hingga hari ini.

Hanya Tuhan yang tahu apa yang saya tempuhi sepanjang tempoh itu. Saya masih trauma sehingga sekarang. Tidur juga masih belum lena biarpun sudah dibebaskan.

Saya seperti dihimpit igauan ngeri setiap malam, malah sentiasa terbayang suasana di lokap. Detik awal dibebaskan, saya langsung tidak dapat memejamkan mata. Saya masih trauma hingga hari ini.


MIMI Lana ditahan dalam lokap selama 11 hari selepas polis temui dadah di rumah sewa. - Foto Aziah Azmee

Apa pengajaran yang Mimi dapat daripada kejadian ini?

Dulu, saya fikir rumah adalah tempat paling selamat kerana kebiasaannya, orang akan melakukan kejahatan di luar.

Apabila terkena, di mana pun kita berada belum tentu selamat. Saya kini jadi curiga dengan semua orang, terutama mereka yang baharu dikenali.

Saya jadi takut untuk berkawan dan mendekati orang baharu. Apa yang saya belajar daripada kisah hitam ini, jangan sesekali tinggal bersama mereka yang tidak dikenali. Dulu, saya tidak pernah fikir mengenainya tetapi sekarang, saya lebih berhati-hati

Bagaimana untuk berdepan dengan masyarakat?

Saya malu berdepan dengan peminat dan orang dalam industri. Pelbagai perkara negatif menghantui fikiran saya.

Tuhan Maha Adil apabila saya didapati tidak bersalah. Cuma saya tidak bernasib baik. Apabila keluar lokap, artis komedi terkenal, Saiful Apek datang bertemu saya.

Dia memberi sokongan dan menawarkan saya berlakon dalam beberapa projek terbitan syarikat produksinya.

Saya juga terhutang budi dengan produser, Fadzil Teh atau Haji Zeel dan Fendi Seman yang membantu membersihkan nama.


MIMI Lana kini sukar mempercayai mereka yang baru dikenali sejak peristiwa itu. - Foto Aziah Azmee

Berita Harian X