Ahad, 11 Oktober 2015 | 12:37pm

Geng curi motosikal tumpas, 7 remaja ditahan di Bukit Mertajam

Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor. - Foto NSTP
Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor. - Foto NSTP

BUKIT MERTAJAM: Polis berjaya menumpaskan kegiatan samun dan curi motosikal di daerah ini selepas menahan sekumpulan suspek terdiri daripada tujuh remaja dalam serbuan selama tiga hari bermula Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor, berkata tujuh suspek berusia lingkungan 18 hingga 29 tahun dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan samun dan curi motosikal di kawasan Seberang Jaya.

Beliau berkata, melalui intipan dan hasil maklumat awam, polis bertindak menyerbu tiga lokasi pada Khamis hingga Sabtu (semalam) dan berjaya menahan tujuh suspek terbabit.

"Dalam ketiga-tiga serbuan itu, polis turut merampas tiga motosikal yang mana salah satunya ditemui di dalam tali air apabila dibuang oleh suspek, 26 alat pelbagai ganti motosikal, pelbagai jenis kad ATM, sebuah telefon bimbit dan tiga rangka motosikal yang dibuang dalam tong sampah.

"Siasatan awal terhadap suspek juga mendapati kumpulan itu pernah terbabit dalam kes lain antaranya memecah masuk sebuah stesen minyak dan masjid, empat kes samun dan pecah kereta di sekitar daerah ini," katanya.

Katanya, tujuh suspek yang juga penduduk tempatan di sekitar kawasan itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X