Ahad, 11 Oktober 2015 | 4:30pm
NAJWA tetap bersederhana dalam berpakaian dan tidak terikut-ikut dengan trend bertudung.
BAKAL tampil dengan album kedua tidak lama lagi.

Najwa Latiff jadikan ibu sebagai sumber inspirasi

BIARPUN dilanda badai, wajah manis penyanyi Najwa Latiff tetap tenang mengukir senyuman.

Dia tidak mudah melenting setiap kontroversi menerjah dirinya.

Berbekalkan nasihat daripada keluarganya, Najwa enggan melatah dengan kata-kata negatif dilemparkan sebaliknya ia menjadi pembakar semangat untuk terus berjuang dalam bidang muzik tempatan.

Katalah apa saja mengenai imejnya, Najwa tetap bersederhana dalam berpakaian dan tidak terikut-ikut dengan trend bertudung.

Dia enggan mempedulikan pejuang papan kekunci yang gemar mencari kesalahan orang.

Pelantun lagu Cinta Muka Buku ini dilihat lebih matang menuturkan kata dan masih mengekalkan adab sopan seperti di awal kemunculannya sebagai penyanyi.

"Bagi saya, setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk berhadapan dengan situasi tertentu. Saya memilih untuk tidak ambil peduli kata-kata negatif terutamanya di laman sosial Instagram.

"Pelbagai perkara berlaku mematangkan diri saya. Saya lebih tenang mengawal emosi dan tidak akan mudah panik jika berdepan dengan situasi yang mendatang secara tiba-tiba," katanya kepada BH PLUS.

Bergelar penuntut Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris pengkhususan TESOL (Pengajaran Bahasa Inggeris Kepada Penutur Bahasa Lain) sedikit sebanyak membantu diri Najwa untuk membina keyakinan diri.

Selain itu gadis berasal dari Batu Pahat, Johor itu menambah, dia dapat memperbaiki kemahiran komunikasi untuk berinteraksi dengan masyarakat sekeliling.

Tambah Najwa, dia enggan menjadikan kesibukan kerjaya sehingga membataskan waktu untuk pengajiannya.

Justeru, Najwa ingin mengikut jejak langkah ibunya, Zarina Saamah sebagai sumber inspirasi dalam segala perkara.

Memilih untuk mengimbangi dunia muzik dan pelajaran tegas Najwa, kedua-dua tanggungjawab itu memang berat kalau tidak diberi perhatian sepenuhnya.

Mengulas mengenai kerjaya seninya yang semakin suram, seraya tersenyum Najwa menjelaskan album keduanya memuatkan tujuh buah lagu ciptaannya bersama kakak, Syafikah Latiff akan diterbitkan tidak lama lagi. Sementara tiga lagi lagu daripada komposer lain.

"Saya sedang dalam proses menyiapkan album kedua yang memperlihatkan sisi lebih matang. Diharapkan peminat dapat menerima album terbaharu saya yang sedikit berbeza dari sebelumnya.

"Buat kali pertama juga, album saya memuatkan satu lagu Inggeris dan Mandarin iaitu Only Yours dan Ni Bu Zhe Dao De Shi nyanyian asal penyanyi terkenal China, Wang Lee Hom," kata Najwa.

Berhasrat untuk mengukuhkan jenamanya dalam bidang nyanyian, Najwa selesa bernaung di bawah pengurusan NAR Records Sdn Bhd (NAR Records).

79 dibaca
Berita Harian X