Ahad, 11 Oktober 2015 | 8:15pm

DBKL minta penghuni lama PPR, PPA cari kediaman selesa

Kawasan kebun milik Abduk Ghani Kosoi, 62, kelihatan luas selepas didatangi lebIh 40 ekor gajah di Kampung Sukau, Kinabatangan. - Foto Abdul Ghani Kosoi

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menasihatkan penghuni kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Awam (PPA) di sini, yang sudah berkemampuan agar membeli kediaman lebih selesa bagi memberi peluang kepada 60,000 bakal penghuni lain yang layak.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan DBKL, Datuk Rizalman Mokhtar berkata, kebanyakan penghuni perumahan itu sudah berpendapatan tinggi sedangkan syarat kelayakan menduduki adalah bagi individu berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

"DBKL turut mendapati terdapat penghuni hanya menjadikan kediaman itu sebagai tempat penyimpanan barang dan ada juga bertindak menyewakannya kepada pihak lain.

"Tindakan mereka ini umpama menafikan hak bakal penghuni lain yang lebih memerlukan dan layak mendiami kediaman itu berbanding penghuni kini yang seakan-akan menyalahgunakan peluang diberikan," katanya dalam sidang media bersama pemilik rumah Projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip), di sini hari ini.

Rizalman berkata, berikutan itu, usaha DBKL membantu 60,000 bakal penghuni PPR dan PPA yang layak dan masih dalam senarai menunggu untuk mendiami kediaman berkenaan turut terbantut.

Oleh itu, katanya, DBKL sedang giat menjalankan bancian terhadap setiap penghuni di 74,000 unit PPR dan PPA di seluruh Kuala Lumpur, yang turut meliputi jumlah pendapatan sebenar dan terkini setiap isi rumah.

"Selepas proses bancian ini, DBKL akan merancang tindakan susulan atau kaedah lain seperti menawarkan rumah mampu milik bagi mengosongkan unit rumah itu untuk ditawarkan kepada individu lain yang lebih memerlukan," katanya.

Dalam pada itu, Rizalman turut menyeru warga kota yang mempunyai pendapatan sederhana dari RM3,000 hingga RM8,000 agar merebut peluang membeli rumah mampu milik di bawah projek Rumawip yang menawarkan harga lebih rendah daripada nilai harga pasaran semasa.

"Bagi sesiapa yang berkemampuan tetapi belum lagi memiliki rumah dan benar-benar ingin memiliki rumah, segeralah membuat permohonan kerana tawaran adalah terhad," katanya.

Setakat September tahun ini, sebanyak 29,090 unit daripada 80,000 unit kediaman telah dibangunkan di bawah projek Rumawip membabitkan kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. - BERNAMA

Berita Harian X