Isnin, 12 Oktober 2015 | 7:34am

Amalan hibah elak perebutan harta

Terdapat dua urusan penting yang perlu diselesaikan sebelum dapat dilakukan urusan pembahagian harta simati iaitu hibah dan wasiat. Apakah yang dimaksudkan dengan hibah?

Perancangan kewangan penting kerana ia membabitkan kehidupan dua pihak iaitu kehidupan simati di alam roh dan orang yang ditinggalkan. Inilah yang dikatakan jaminan masa hadapan dunia dan akhirat. Islam tidak mahu umatnya bergaduh dan berkeluh-kesah malah bersedih sepanjang hayat selepas berlaku kematian. Lantaran harta adalah amanah yang perlu dikembangkan, maka menurut kaedah perancangan kewangan Islam, urusan hibah dan wasiat diharuskan kerana ia dilihat sebagai perbuatan kebajikan yang bakal menjamin kemaslahatan umum. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Bukanlah suatu kebajikan itu kamu menghadapkan muka ke Timur dan Barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, hari akhirat, malaikat, kitab dan nabi, dan mendermakan harta yang dicintai kepada kerabatnya, anak yatim, orang miskin, yang bermusafir, yang meminta-minta, yang memerdekakan hamba abdi, yang mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan menyempurnakan janji." (Surah al-Baqarah, ayat 177)

Hibah adalah pemberian seseorang kepada orang lain atau pihak tertentu dan pembahagian hibah itu dilakukan saat pemberi masih hidup, dilakukan oleh pemilik harta sesuai dengan keinginannya tanpa sebarang paksaan serta mengharapkan sebarang balasan ('iwad). Pelaksanaan hibah bertujuan untuk jaminan ketenangan hati dan minda penerima mahupun pemberi hibah. Biarpun asalnya hibah umpama pemberian, sedekah atau hadiah namun pelaksanaannya tetap membabitkan akad. Akad hibah hanya akan wujud setelah empat rukun dan syaratnya dipenuhi iaitu perlu ada pemberi hibah (alwahib), penerima hibah (almauhublahu), benda atau harta yang dihibahkan (almauhub) dan sighah (ijab dan kabul). Pemberi hibah mestilah seorang yang telah baligh dan berakal supaya beliau memahami dan jelas dengan matlamat pemberian hibah yang ingin dilakukan. Amalan hibah dan wasiat sebenarnya boleh mengelakkan berlaku pertikaian dan perebutan harta di kemudian hari.

Ada yang menyebut produk takaful juga turut diselitkan elemen hibah dan ia disebut sebagai hibah bersyarat. Bagaimanakah operasi hibah bersyarat dilaksanakan dalam takaful?

Produk takaful sememangnya telah digabungkan dengan elemen hibah malah telah diamalkan oleh semua pengendali takaful kerana ia berpaksikan amalan sedekah melalui pengurusan tabung Tabarru'. Pengendali takaful akan menghibahkan sesuatu kepada peserta sebagai ganjaran atas kejayaan tertentu yang telah dicapai peserta. Terdapat beberapa produk takaful yang menggunakan konsep hibah Pelan Pendidikan yang diaplikasikan oleh Takaful Ikhlas Berhad. Penerima hibah akan menerima hibah daripada pengendali takaful jika mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Hibah tidak bercanggah dengan prinsip syarak kerana dikira sebagai ganjaran atas kejayaan yang telah dicapai dan telah memenuhi syarat ditetapkan dalam kontrak takaful. Perlu difahami bahawa, hibah bukanlah salah satu produk yang dipromosikan oleh syarikat takaful, tetapi ianya adalah salah satu elemen yang diterapkan bagi memberikan manfaat kepada peserta takaful. Hibah yang diaplikasikan oleh syarikat takaful mempunyai pengertian yang sama tetapi hanya berbeza daripada sudut tujuan pemberian itu. Terdapat juga pelaksanaan hibah menerusi manfaat takaful di mana waris akan menerima manfaat jika peserta mengalami musibah hingga menyebabkan kematian. Bagi produk berkaitan pendidikan, ibu bapa adalah pembayar sumbangan iaitu sebagai pemberi hibah manakala anak sebagai penerima hibah secara mutlak dan akan mendapat manfaat takaful jika berlaku musibah kepada ibu bapa itu. Inilah yang dikategorikan sebagai hibah bersyarat kerana hibah manfaat takaful hanya akan berkuat kuasa setelah peserta takaful meninggal dunia.

Ilmuwan masih berselisih pendapat dalam hal ini kerana amalan hibah seharusnya dilakukan semasa hidup malah status manfaat takaful juga menjadi pertikaian sama ada ia dikira sebagai harta simati atau tidak kerana jika dikira harta maka ia perlu dibahagikan kepada ahli waris mengikut hukum faraid. Namun, jika ia tidak dikira sebagai harta simati maka memadai dengan hibah yang telah dilakukan sebelum itu. Menurut keputusan Majlis Pengawasan Syariah Bank Negara pada mesyuarat kali ke 34, status hibah dalam pelan takaful tidak akan berubah menjadi wasiat kerana hibah yang dilakukan adalah hibah bersyarat. Manfaat takaful pula lazimnya berkaitan dengan kematian peserta dan tempoh matang sijil. Jika peserta masih hidup apabila sijil takaful ini telah mencapai tempoh matang, maka manfaat takaful ini akan dimiliki oleh peserta. Jika peserta telah meninggal dunia sebelum mencapai tempoh matang, maka aplikasi hibah akan berkuatkuasa. Peserta mempunyai hak untuk membatalkan hibah sebelum mencapai tempoh matang.

  • Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Berhad
  • Berita Harian X