Selasa, 30 September 2014 | 7:02pm
Ng Seing Liong pada sidang media Malaysia Property Expo (MAPEX) 2014. - Foto Rosela Ismail

REHDA harap Bajet 2015 garis langkah tangani kesan GST

PETALING JAYA: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) berharap kerajaan akan mengumumkan insentif tertentu dalam Bajet 2015 yang dapat mengurangkan kesan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terhadap harga rumah.

Penaungnya, Datuk Ng Seing Liong, berkata pihaknya mengunjurkan harga rumah akan meningkat dua hingga tiga peratus

apabila GST dilaksanakan pada 1 April tahun depan kerana hartanah kediaman termasuk dalam kategori pembekalan dikecualikan GST.

Pembekalan dikecualikan GST bermaksud pemaju hartanah tidak layak menuntut kredit cukai input dan tidak boleh mengenakan cukai output kepada pengguna.

Justeru, dengan pengenalan GST pada kadar enam peratus ke atas bahan binaan dan perkhidmatan, ia boleh memberi kesan kepada kos pembinaan serta pembangunan yang akan menjejaskan harga rumah.

"Bagi mengurangkan kesan terhadap harga rumah mampu milik, kami memohon kepada kerajaan supaya mengenakan GST pada kadar sifar bagi hartanah kediaman mampu milik berharga di bawah RM400,000.

"Dengan mengenakan GST pada kadar sifar membolehkan pemaju hartanah membuat tuntutan kredit cukai input dan mengenakan cukai berkenaan pada kadar sifar kepada pengguna," katanya pada sidang media mengumumkan penganjuran Ekspo Hartanah Malaysia 2014 (MAPEX 2014) di sini hari ini.

REHDA juga berharap kerajaan mengumumkan insentif yang dapat mengurangkan beban bagi pembeli rumah kali pertama untuk memiliki kediaman sendiri.

Dengan melanjutkan tempoh pembiayaan rumah dan jumlah pembiayaan rumah kediaman yang tinggi dilihat mampu mengurangkan beban pembeli rumah kali pertama yang kebanyakannya terdiri daripada generasi muda yang baharu mula bekerja.

Mengenai MAPEX 2014, Ng berkata, lebih 90 pemaju hartanah terkemuka negara termasuk syarikat asing menyertai pameran itu yang akan diadakan selama tiga hari bermula 10 Oktober ini di Pusat Pameran Mid Valley, Mid Valley Megamall.

Kira-kira 20,000 unit hartanah bernilai lebih RM20 bilion akan dipamerkan pada pameran itu yang bertemakan 'Berbelanja dengan Bijak, Melabur dengan Bijak'.

MAPEX 2014 dijangka dirasmikan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Berita Harian X