Isnin, 12 Oktober 2015 | 7:33pm

Kejayaan tidak mustahil dicapai - Kim Swee

SEKITAR latihan Harimau Malaya di Dili, Timor Leste, petang tadi. - Foto FAM

KUALA LUMPUR: Kelebihan fizikal dan peningkatan prestasi dipamerkan Timor Leste terutama pemain naturalisasi bukan alasan untuk Malaysia tidak mencatatkan keputusan positif pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2018/ Asia 2019, esok.

Hadir ke laman Timor Leste, Dili bagi misi meraih tiga mata pertama pada kempen kali ini, perkara itu diakui sendiri pengendali sementara, Datuk Ong Kim Swee namun berkata, andai pemain Malaysia mampu mengikuti segala perancangan yang ditetapkan, kejayaan tidak mustahil mampu dicapai.

"Benar mereka ada kelebihan fizikal namun kita juga sudah bermain dengan pasukan seperti ini, Arab Saudi dan ia bukan alasan untuk kita tidak bermain dengan baik," kata Kim Swee.

"Bagi saya apa yang mustahak ialah pemain terus berdisiplin sehingga wisel terakhir permainan."

Prestasi Timor Leste ketika ini cukup baik terutama ketika mencatat keputusan seri 1-1 bertemu Palestin pada kempen kelayakan sebelum ini.

Pada perlawanan pertama kelayakan di Bukit Jalil, Malaysia yang ketika itu masih dibimbing Dollah Salleh mencatat keputusan seri 1-1.

"Timor bertambah baik dan mereka juga ada ramai pemain naturalisasi dari Brazil. Mereka juga dapat satu mata ketika bertemu Palestin dan itu membuktikan mereka pasukan yang baik.

"Apapun, kita juga tahu diri kita dengan baik dan mempunyai kelebihan yang tersendiri," kata Kim Swee yang tiba ke Dili, dua hari lalu.

Malaysia ketika ini menduduki tempat tercorot Kumpulan A kelayakan selepas sekadar mengutip satu mata daripada empat perlawanan.

Selepas seri 1-1 menentang Timor Leste, Malaysia mencatat kekalahan 6-0 kepada Palestin sebelum dimalukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 10-0 yang membawa kepada peletakan jawatan Dollah.

Perlawanan berikutnya menentang Arab Saudi pula diganggu kekecohan penonton di Stadium Shah Alam sehingga memaksa perlawanan dihentikan.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas itu menghukum Malaysia dengan kekalahan 3-0 selain denda dan beraksi tanpa penyokong.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Timor Leste, Fernando Rogerio de Alcantara yang turut memburu kemenangan pertama berkata percaturan permainan akan menjadi penentu kepada kemenangan esok.

Berita Harian X