Selasa, 13 Oktober 2015 | 2:28pm

Amar Baharin hargai kritikan, tekad perbaiki lakonan

gn4id:9948699

KUALA LUMPUR : Pelakon Amar Baharin menerima baik kritikan positif dilemparkan kepadanya dan menjadikan ia sebagai pembakar semangat untuk memberikan persembahan terbaik bagi teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick di Istana Budaya.

Amar, 30, berkata, beliau beruntung kerana ditegur pihak media ketika majlis pratonton dan masih punyai ruang untuk memperbaiki mutu lakonannya sehingga malam terakhir pementasan.

"Saya berterima kasih dengan kritikan positif diberikan kerana secara tidak langsung dapat membantu saya memperbaiki lagi lakonan saya.

"Saya akan duduk berbincang bersama pengarah bagi meneliti semula adegan-adegan yang boleh diperbaiki. Tidak dinafikan saya gugup kerana buat pertama kalinya menjayakan watak utama di pentas teater yang diadaptasi dari sebuah karya agung.

"Pementasan pertama itu adalah kali pertama kami beraksi di pentas bersama-sama prop dan kami para pelakon sedikit kekok. Saya dan Nabila kurang selesa dengan satu prop cerun tinggi dan risau terjatuh ketika ia ditolak kru.

"Babak itu antara babak paling susah buat saya kerana perlu menghafal dialog dan mengawal ekspresi agar tidak kelihatan terlalu berhati-hati," katanya kepada BH Online.

Amar berharap peminat filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick tidak membandingkan lakonannya dengan pelakon lelaki filem itu.

"Bukan mudah untuk menjayakan watak yang mempunyai ramai pengikut. Tetapi saya menganggap ia sebagai cabaran yang perlu dipikul dan galas sebaiknya.

"Saya menjanjikan yang lebih baik untuk hari mendatang dan tidak akan mengecewakan penonton yang hadir membeli tiket," kata Amar.

Karya agung Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick tulisan Prof Dr Hamka atau nama sebenarnya, Haji Abdul Malik Karim Amrullah bakal dipentaskan di Istana Budaya (IB) pada 12 hingga 18 Oktober.

Teater itu dibawakan oleh Istana Budaya, GenSem dan CTRA Production serta dijayakan oleh barisan pelakon popular masa kini seperti Nabila Huda, Amar Baharin, Syarul Ridzwan dan Amyra Rosli.

Berita Harian X