Selasa, 13 Oktober 2015 | 6:38pm

Harimau Malaya gah benam Timor Leste 1-0 di Dili

KUALA LUMPUR: Malaysia melakar kemenangan sulung dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2018/ Asia 2019 selepas menewaskan Timor Leste 1-0, hari ini.

Penyerang, Amri Yahyah muncul wira apabila meledak gol tunggal perlawanan di Stadium Perbandaran Dili, Timor Leste itu pada minit kesembilan dengan kemenangan menyaksikan Malaysia merakam tiga mata pertama selepas lima perlawanan.

Dikejutkan dengan berita penggantungan kapten, Safiq Rahim beberapa jam sebelum perlawanan bermula, ia begitupun tidak melemahkan semangat pemain Malaysia yang jelas mahu bangkit daripada kedukaan dicipta sebelum ini.

Selain Amri, penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat juga boleh dijulang wira apabila melakukan beberapa aksi menyelamat bagi memastikan gawang Malaysia tidak dibolosi.

Gol Malaysia dimulakan gerakan kapten Harimau Muda, Nazirul Naim Che Hashim di kiri padang sebelum pantas melorongkan bola kepada Amri yang melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol Timor Leste, Ramos Saozinho.

Tersentak dengan jaringan itu, Timor Leste pantas membuat pertukaran pertama dengan Agostinho masuk ganti Carlos Magno.

Sekalipun berjaya menguasai permainan selepas itu, tiada jaringan berjaya diledakkan tuan rumah untuk keputusan kekal 1-0 berakhir babak pertama.

Memasuki babak kedua, jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee membuat pertukaran dengan memasukkan pemain tengah, Nasir Basharudin untuk menggantikan Ismail Faruqi bagi mengekang serangan bertali arus tuan rumah.

Di sebalik serangan bertali arus Timor Leste, Malaysia berjaya menghalang gawang daripada dibolosi malah tindakan Kim Swee mengeluarkan Safee Sali di penghujung babak permainan dan memasukkan pertahanan, Shahrul Saad bagi menguatkan pertahanan juga dilihat tindakan bijak.

Pada perlawanan pusingan pertama Jun lalu di Bukit Jalil, Malaysia terikat 1-1 apabila Timor Leste meledak jaringan penyamaan pada masa kecederaan babak kedua.

Berita Harian X