Rabu, 14 Oktober 2015 | 12:05am

Teater lestarikan khazanah budaya


BANGSAWAN Tun Teja yang dipentaskan oleh Kumpulan Bangsawan Seri Kedah di Dewan Resital UPSI, Tanjung Malim, baru-baru ini.

RAKAMAN sejarah kesultanan, tokoh dan pahlawan Melayu banyak diangkat dalam pementasan seni teater tradisional berbentuk bangsawan dipercayai mula dipentaskan sejak tahun 1870-an di Tanah Melayu.

Bagaimanapun, hal itu semakin kurang diberi perhatian, apatah lagi dengan kemasukan seni teater Barat yang lebih bersifat kontemporari.

Justeru, dalam usaha melestarikan khazanah bangsa yang semakin ditinggalkan, PETRONAS dengan kerjasama Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) tampil membawakan pementasan bangsawan bertajuk Bangsawan Tun Teja yang dipentaskan oleh Kumpulan Bangsawan Seri Kedah di Dewan Resital UPSI, Tanjung Malim, barubaru ini.

Bangsawan Tun Teja ialah adaptasi daripada teks kesusasteraan Melayu klasik mengisahkan pertelagahan antara Hang Tuah, Megat Panji Alam dan Sultan Melaka dalam usaha merebut gadis jelita, Tun Teja Ratna Benggala yang juga puteri kepada Bendahara Melaka, Sri Amar Diraja.

gn4id:9944316

Cinta, hormat khazanah budaya

Pengasas Kumpulan Bangsawan Seri Kedah, Morad Ibrahim, berkata pemilihan mereka sebagai penerima Geran Seni dan Budaya PETRONAS tahun ini menjadi pemangkin untuk terus melestarikan teater bangsawan.

"Geran yang dikeluarkan oleh PETRONAS ini membantu usaha kami untuk mengetengahkan lagi teater bangsawan kepada masyarakat terutama dalam kalangan generasi muda.

"Ia amat signifikan dalam menumbuhkan rasa cinta dan hormat mereka terhadap khazanah budaya Melayu yang unik lagi pelbagai," katanya.

Tambahnya, persembahan itu mempunyai tarikan tersendiri kerana mengangkat kisah wirawati Melayu yang menempuh pelbagai dugaan dan cabaran sehingga akhir hayatnya.

gn4id:9944324

Lengkap busana, sinonim bangsawan

Lebih menambah rencah, ia turut diselangi dengan tarian dan muzik tradisional Melayu dengan pemainnya lengkap mengenakan busana yang sinonim dengan dunia bangsawan seperti baju kebaya, manakala pelakon lelaki pula siap bertanjak dan memakai keris.

Selain Kumpulan Bangsawan Seri Kedah, geran keseluruhan berjumlah RM4 juta oleh PETRONAS itu turut diberikan kepada 27 kumpulan lain seperti makyung, jikey, zapin, rodat, wayang kulit dan persembahan teater klasik India, Bharatanatyam.

PETRONAS terbabit dalam usaha melestarikan khazanah budaya Malaysia sejak penubuhan Kumpulan Seni Persembahan PETRONAS pada tahun 1989 dan disusuli penyaluran geran kepada kumpulan seni persembahan tempatan mulai tahun 2012.

Berita Harian X