Rabu, 14 Oktober 2015 | 3:20pm

Koleksi baharu tudung, jubah Dr Muhaya pada FMBH 2015


PROF Dr Muhaya menggayakan tudung daripada koleksi baru Modest Culture. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Penyertaan pakar motivasi terkenal, Prof Dr Muhaya Muhamad, dalam Fiesta Muslimah BH 2015 (FMBH 2015) pada 24 dan 25 Oktober ini, dijangka mendorong kehadiran sebahagian besar daripada hampir satu juta pengikut Facebook beliau ke acara berprestij itu.

Sempena FMBH 2015 di Pusat Pameran Konvensyen MATRADE (MECC), Dr Muhaya yang mengasaskan busana Muslimah menggunakan jenama Modest Culture sejak tiga tahun lalu, juga akan mengedarkan 100 buku tulisannya berjudul Celik Mata dan Jiwa berharga RM25 serta 100 tudung daripada koleksi Gorgeous berharga RM49 sehelai.

Pengurus Projek Modest Culture Sdn Bhd, Nur Adila Shahrom, berkata pihaknya menyasar kehadiran sebahagian besar pengikut Facebook Dr Muhaya, bagi memeriahkan lagi acara itu.

Katanya, beliau yakin peminat fesyen Muslimah akan datang bukan saja ingin memeriahkan fiesta, tetapi juga membeli-belah pelbagai koleksi tudung dan jubah.

"Selain agihan buku dan tudung kepada pelawat terawal, Modest Culture juga akan memberi potongan harga di antara 10 hingga 50 peratus untuk koleksi tertentu," katanya ketika dihubungi, hari ini.


ANTARA koleksi Modest Culture yang ada di Fiesta Muslimah BH 2015. - Foto NSTP

Butik berkenaan akan menjual set baju kurung bersama tudung, yang dipanggil 'get it right' dengan harga RM289 manakala 'get it right platinum', pada harga RM389.

Koleksi baju kurung potongan puplum dan dilengkapi skirt yang menggunakan fabrik lycra berkualiti tinggi, lembut, tidak perlu digosok. Koleksi ini juga boleh dibawa bersolat kerana siap dengan tudung yang menutupi dagu.

Potongan 10 peratus untuk koleksi jubah Elegance dan Terrific, yang biasanya dijual pada harga RM169 hingga RM299 manakala diskaun 50 peratus untuk koleksi skirt dan jubah smartmum, yang sekarang dijual pada harga antara RM99 sehingga RM180.

Pengunjung juga boleh berjumpa dan mendengar slot bual bicara bertajuk Kesihatan, Kecantikan dan Fesyen daripada Dr Muhaya, jam 2.30 petang pada 24 Oktober ini.

Nur Adilah berkata, Modest Culture turut menampilkan edisi istimewa DrMuhaya.com edisi terhad iaitu 10 helai saja dijual antara RM350 hingga RM499.


MODEST Culture akan memberi potongan harga antara 10 hingga 50 peratus untuk koleksi tertentu. - Foto NSTP

Koleksi itu adalah antara yang digayakan oleh Prof Muhaya dalam program bual bicara di televisyen.

"Keyakinan terhadap BH, mendorong kami membuka dua gerai. Kami optimis dapat menjual lebih RM30,000 sepanjang dua hari fiesta ini, selain menghebahkan acara ini di laman Facebook bagi menarik orang ramai," katanya.

Nur Adila berkata, pihaknya teruja menyertai majlis ilmu seperti FMBH dan menyifatkan acara itu sangat memberi manfaat kepada peserta dan penganjur.

"Kami banyak menerima undangan membuka gerai, tetapi lebih selektif dengan memilih program sebegini sejajar dengan pengisiannya lebih padat. Ia berbentuk ilmiah dan berharap ia diteruskan, pada masa depan," katanya sambil menambah penyertaan pada FMBH 2015 tepat bagi mengukuhkan strategi penjenamaan produk mereka.

FMBH 2015 yang bertujuan memartabatkan fesyen Muslimah tempatan, adalah penganjuran kali kedua pada skala besar dengan 100 bazar jualan pelbagai jenama fesyen dibuka dan menyasar lebih 80,000 pengunjung.

Berita Harian X