Rabu, 1 Oktober 2014 | 3:00am

Penagih muda: Buang keluarga demi dadah

MEMAKI hamun ibu bapanya menjadi perkara biasa bagi seorang penagih dadah muda ini. Bahkan dia juga pernah mengambil keputusan lari dari rumah dan menginap di rumah tumpangan.

Tindakan anak muda berusia 23 tahun yang berasal dari Kedah itu didorong perasaan berang dengan sikap keluarga yang sering memarahinya kerana ketagihan melampau terhadap dadah.

Pemuda yang hanya mahu dikenali dengan nama Jefry itu mengakui tidak pernah menyesal dengan perbuatan terkutuk dilakukan terhadap kedua ibu bapanya, biarpun usianya ketika itu baru mencecah 19 tahun.

"Saya sudah tujuh tahun mengambil dadah, sejak tamat persekolahan dulu. Bermula dengan cuba-cuba, akhirnya ia jadi ketagih dan semakin teruk (gian) bila tidak ambil.

"Marah ayah itu sudah jadi macam perkara biasa. Kami selalu bertengkar, mungkin dadah buat saya jadi macam ini," katanya ditemui BH Online di Cure & Care Vocational Centre (CCVC) di Sepang, sebuah agensi di bawah kendalian Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Sepang, baru-baru ini.

Dia juga pernah ditahan polis, malah mempunyai pengalaman dipenjarakan empat bulan.

"Semua itu masih tidak mengubah tabiat buruk saya untuk terus menagih heroin. Lepas dipenjara, saya berhenti dua tahun dan sambung belajar, tetapi niat itu tidak panjang. Saya kembali kepada dadah," katanya.

Jefry kini menjalani latihan kemahiran selama enam bulan dalam bidang kimpalan di pusat kemahiran terbabit dan akan meneruskan hukuman di pusat serenti sejurus menamatkan latihan di sana.

Mengulas lanjut, Jefry mengakui betapa dia menyesal atas apa yang sudah dilakukannya. Dia juga berikrar untuk tidak mengulangi tabiat menagih sekembalinya ke pangkuan keluarga.

"Saya rasa teramat bersalah pada ayah, harap mereka dapat maafkan saya. Apa yang saya boleh katakan, mungkin selepas ini saya akan berhijrah dan tidak akan tinggal di kampung.

"Sejarah hitam yang dilalui sebelum ini biar ia jadi kenangan, saya mahu berubah dan menjadi anak yang boleh berjasa pada ayah dan ibu," katanya bersyukur diberi peluang menjalani latihan kemahiran di pusat berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah CCVC, Muhammad Ramlan Syed Ahamed, berkata pusat kemahiran yang dibuka sejak lima tahun lalu itu menyediakan latihan kemahiran kepada pesalah dadah yang kini menjalani hukuman di pusat serenti.

Katanya, pengambilan calon atau peserta latihan dibuka untuk semua pusat serenti seluruh negara dengan maksimum pengambilan untuk tempoh enam bulan adalah sekitar 120 hingga 150 peserta.

"Antara kursus di sediakan di sini ialah kimpalan, jahitan serta masakan. Ia akan berjalan selama enam bulan.

"Pengambilannya akan dibuat menerusi temu duga. Tidak semua penagih boleh mendapatkan latihan di sini, ia bergantung kepada tahap akademik dan kemahiran yang dimiliki," katanya.

Ramlan berkata, selain latihan kemahiran, pusat berkenaan juga menyediakan program dan aktiviti kerohanian untuk peserta termasuk riadah, ceramah dan tazkirah agama.

"Matlamat kita adalah untuk memastikan penagih-penagih ini terutama yang berusia awal 20-an mendapat pembelaan dari segi peluang masa depannya," katanya.

Ikuti sambungan dalam siri kedua esok.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X