Rabu, 14 Oktober 2015 | 5:38pm

Polis tahan 4 lelaki, rampas air ketum dan ubat batuk

OPERASI bersepadu membabitkan bahagian narkotik IPD Seberang Prai Tengah, Majlis Perbandaran Seberang Prai dan Pejabat Tanah Daerah SPT menyerbu sebuah kedai runcit yang menjual air ketum dan ubat batuk dekat Jalan Permatang Rawa, Bukit Mertajam. - Foto ihsan pembaca
OPERASI bersepadu membabitkan bahagian narkotik IPD Seberang Prai Tengah, Majlis Perbandaran Seberang Prai dan Pejabat Tanah Daerah SPT menyerbu sebuah kedai runcit yang menjual air ketum dan ubat batuk dekat Jalan Permatang Rawa, Bukit Mertajam. - Foto ihsan pembaca

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan empat lelaki dan merampas 32 bungkusan air ketum serta 131 botol ubat batuk dalam pemeriksaan di sebuah kedai runcit dan kedai makan di Jalan Permatang Rawa, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor, berkata polis dengan kerjasama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Pejabat Tanah dan Daerah SPT menjalankan operasi bersepadu di kawasan berkenaan sebelum menahan empat lelaki berusia 18 hingga 38 tahun.

"Dalam operasi bermula jam 8.30 pagi hingga 11 pagi itu, kami menjalankan pemeriksaan di kawasan berkenaan sebelum mendapati dua buah kedai terbabit menjual barang larangan itu.

"Polis menahan empat lelaki yang terdiri daripada pemilik kedai, pekerja dan pelanggan sebelum merampas air ketum serta ubat batuk bernilai RM1,764," katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati air ketum itu dijual dengan harga RM6 sebungkus manakala RM12 bagi setiap botol ubat batuk.

Rusli berkata, dalam operasi itu, polis turut merampas sebuah kereta, dua buah motosikal, sebilah pisau dan wang tunai sebanyak RM370.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis tidak menolak kemungkinan air ketum dan ubat batuk itu dijual kepada pelanggan tetap mereka bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.

Katanya, empat lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Selain itu, Rusli berkata pihak MPSP turut mengeluarkan saman dan kompaun kerana pemilik kedai makan itu berniaga tanpa lesen.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X