Rabu, 1 Oktober 2014 | 4:34am

Agama: Bani Israel ingkar arahan taubat

Ustaz Syaari Abdul Rahman
Ustaz Syaari Abdul Rahman

Ustaz Syaari Abdul Rahman sorot kisah Nabi Musa bawa 70 lelaki Bani Israel ke Gunung Tursina dan mukjizat dihidupkan semula selepas mati dalam Ibrah

Segmen Ibrah yang bersiaran setiap Isnin, jam 5.15 petang minggu lalu di IKIMfm dimulakan dengan Ustaz Syaari Abdul Rahman menyorot kisah Nabi Musa yang begitu marah dengan kaumnya menyembah patung anak lembu sehingga terlepas batu (luh) tertulis kitab Taurat.

Apabila kemarahan Nabi Musa reda, Baginda mengambil kembali batu (luh) Taurat itu. Ustaz Syaari mendefinisikan kemarahan sebagai 'makhluk' yang berada dalam diri setiap manusia termasuk Nabi Musa sendiri. Kita perlu mengetahui kemarahan boleh dikawal dan akan bertindak apabila tidak dapat dikawal.

Nabi Musa telah mengumumkan hukuman bunuh diri terhadap mereka yang menyembah patung anak lembu seperti diceritakan dalam al-Quran yang bermaksud: "Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu, iaitu bunuhlah diri kamu." (Surah al-Baqarah, ayat 54)

Hukuman bunuh diri adalah syariat pada masa itu untuk mereka yang ingin bertaubat. Adapun umat Nabi Muhammad SAW beruntung kerana Allah SWT tidak memerintahkan membunuh diri apabila mereka ingin bertaubat.

Sewajarnya kita bersyukur kerana dengan melahirkan keinsafan dan penyesalan, berjanji untuk tidak mengulangi seterusnya meninggalkan maksiat adalah cara taubat untuk umat Nabi Muhammad SAW.

Jenayah murtad serius

Syaari seterusnya menekankan jenayah murtad adalah satu perkara yang serius, maka hukuman bunuh diri adalah wajar. seperti yang berlaku kepada Bani Israel, mereka bukan sahaja sengaja dan gembira menyembah patung anak lembu itu, malah mengingkari kata-kata Nabi Harun.

Di samping itu, mereka juga telah diberi kemuliaan oleh Allah SWT dengan dizahirkan pelbagai mukjizat termasuklah Allah SWT menyelamatkan mereka daripada cengkaman Firaun, namun mereka masih mahu kembali kepada penyembahan berhala. Adakah kembali murtad dikatakan sebagai terima kasih kepada Allah SWT yang menyelamatkan mereka?

Pengisytiharan hukuman bunuh diri kepada yang menyembah berhala, di antara mereka yang terbunuh, ada yang bunuh diri dan ada juga yang belum sampai ajalnya walaupun dibunuh. Golongan itu diampunkan Allah SWT kerana telahpun menjalani hukuman mereka.

70 lelaki beriman ke Gunung Tursina

Nabi Musa berasa terkejut dan bersalah terhadap apa yang berlaku. Oleh itu, Baginda memilih dan membawa seramai 70 lelaki daripada Bani Israel, iaitu mereka yang beriman, tidak menyembah berhala itu ke Gunung Tursina, tempat Baginda bermunajat kepada Allah SWT sebelum ini.

Dalam perjalanan menuju ke Gunung Tursina, Baginda meminta 70 wakil berkenaan untuk menunggu Baginda di satu lereng bukit dan Baginda meneruskan perjalanan bertemu dengan Allah SWT.

Setelah bertemu Allah SWT, Nabi Musa kembali kepada 70 wakil itu dengan membawa berita gembira iaitu Allah SWT telah mengampunkan dosa mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan orang yang melakukan kejahatan kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan beriman, (maka) sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah al-A'raaf, ayat 153)

Sebaik sahaja Nabi Musa memberitahu mereka berita gembira itu, mereka dengan tiada segan silu memberitahu Nabi Musa untuk bertemu dengan Allah SWT seperti terakam dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan ketika kamu berkata: Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)." (Surah al-Baqarah, ayat 55)

Menariknya, Syaari merujuk Bani Israel yang tidak mempunyai keteguhan iman itu dengan istilah 'berpenyakit' akibat terlalu lama dijajah Firaun dan terlalu lama hidup menyembah berhala..

Kata-kata mereka menyebabkan berlakunya gempa bumi dan petir yang akhirnya meragut semua nyawa mereka. Nabi Musa yang melihat keadaan demikian merayu kepada Allah SWT apakah yang akan dikatakan kepada kaumnya sekembali Baginda nanti kepada mereka?

Tidakkah mereka akan mengatakan Baginda yang telah membunuh mereka. Maka ketika mereka digegarkan oleh gempa, Nabi Musa merayu dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jika Engkau kehendaki, Engkau boleh binasakan mereka bersama-sama denganku sebelum ini. Adakah Engkau hendak membinasakan kami disebabkan apa yang telah dilakukan oleh orang yang bodoh di antara kami? Itu hanyalah cubaan-Mu." Nabi Musa berdoa kepada Allah supaya membangkitkan mereka semula. Rahmat Allah SWT yang begitu luas telah membangkitkan semula semua mereka daripada mati.

Syaari mengajak semua untuk bermuhasabah jika kita berada di tempat Bani Israel dengan mukjizat yang berlaku pada diri sendiri, iaitu mati dan dihidupkan kembali, apakah kita tidak bertaubat dan bersyukur kepada Allah SWT?

Berdoa jadi umat Nabi Muhammad

Ibnu Kathir memetik kata-kata sahabat bernama Qatadah yang mengatakan Nabi Musa diberitahu akan datang kemudian nanti seorang Rasul yang Ummi, yang tidak tahu membaca atau menulis, dan namanya akan tertulis di Kitab Taurat dan Injil. Umatnya adalah lebih baik dan dengan itu Nabi Musa meminta kepada Allah untuk menjadi umat Nabi Muhammad, tetapi Allah tidak memakbulkan doa Nabi Musa itu.

Setelah semua 70 lelaki Bani Israel itu dihidupkan kembali oleh Allah SWT, mereka berasa amat takut dan gentar dengan pengalaman menghadapi kematian. Nabi Musa membawa mereka ke Gunung Tursina, tempat Baginda bermunajat kepada Allah SWT.

Di sinilah Allah SWT mengambil perjanjian daripada mereka seperti difirmankan yang bermaksud: "Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu ketika Kami angkatkan gunung Tursina di atas kamu (sambil Kami berfirman): Terimalah Taurat yang telah Kami berikan kepada kamu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh, dan ingatlah (jangan lupakan) apa yang tersebut di dalamnya supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 63)

Bani Israel patuh dengan perjanjian itu kerana takut gunung akan menghempap mereka. Mereka mendengar akan, tetapi selepas turun dari Gunung Tursina mereka mengabaikannya dengan perlakuan dalam kehidupan mereka.

Penulis ialah Penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

Berita Harian X