Khamis, 15 Oktober 2015 | 12:16am

Aedes simpan virus denggi dalam telur


NYAMUK betina pindahkan virus denggi kepada telurnya adalah antara punca peningkatan kes deman denggi di negara ini.

Telur yang memiliki virus denggi ini menyebabkan kitaran Aedes seterusnya, termasuk jentik-jentik dan anak nyamuk, turut memiliki virus itu, yang kemudiannya dipindahkan kepada manusia menerusi gigitan apabila nyamuk meningkat dewasa.

Ini adalah antara sebab mengapa wabak demam denggi terus mencatatkan peningkatan walaupun nyamuk dewasa telah dimusnahkan menerusi pelbagai kaedah, termasuk semburan asap.

Hipotesis itu antara penemuan yang dikongsikan Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Terengganu, Dr Nur Aida Hashim, ketika mengkaji mengenai habitat Aedes, yang dikatakan sukar dipupuskan.

PENSYARAH Kanan Universiti Malaysia Terengganu, Dr Nur Aida Hashim.
PENSYARAH Kanan Universiti Malaysia Terengganu, Dr Nur Aida Hashim.

NYAMUK betina dewasa memindahkan virus denggi kepada telur yang dihasilkannya menyebabkan virus denggi terus menular. - Foto hiasan
NYAMUK betina dewasa memindahkan virus denggi kepada telur yang dihasilkannya menyebabkan virus denggi terus menular. - Foto hiasan

Beliau berkata, pemindahan virus dalam proses pembiakan iaitu ketika nyamuk betina menghasilkan telur menyumbang kepada terhasilnya baka baharu yang menjadi pembawa aktif virus denggi.

"Dalam kajian, penyelidik mempercayai ada kemungkinan virus ini mampu dipindahkan daripada nyamuk betina kepada telurnya.

"Apabila nyamuk betina menghisap darah yang ada virus denggi, ia akan memindahkan virus ini kepada telurnya. Apabila telur menetas, virus ini akan ada dalam anak nyamuk itu.

PROSES pemindahan virus denggi dalam kitaran hidup Aedes.
PROSES pemindahan virus denggi dalam kitaran hidup Aedes.

"Oleh itu, kalau kita lihat keadaan yang berlaku sekarang, kita sudah bunuh nyamuk melalu semburan asap, tetapi kes denggi masih ada dan tidak terhenti. Virus itu seperti terus stabil dalam populasinya dan kes deman denggi semakin meningkat," katanya.

Selain itu, katanya, keupayaan nyamuk menjadi rintang atau kebal terhadap racun atau bahan kimia yang digunakan untuk memusnahkannya juga satu punca kes demam denggi terus berlaku.

Apabila nyamuk sudah selalu terdedah kepada racun, ia membentuk rintangan atau kekebalan atau tahap imun terhadap racun berkenaan.

Oleh itu, penggunaan racun itu tidak lagi berkesan dan tidak mampu membunuh nyamuk berkenaan.

PENGGUNAAN racun tidak lagi berkesan untuk membunuh nyamuk.
PENGGUNAAN racun tidak lagi berkesan untuk membunuh nyamuk.

"Contohnya dalam satu kawasan yang mencatatkan kes denggi tinggi. Kita kerap melakukan semburan racun atau bahan kimia bagi menghapuskan nyamuk ini. Apabila selalu terdedah kepada racun ini (racun yang sama), nyamuk itu menjadi kebal. Ia membina daya tahan terhadap racun berkenaan sejak di peringkat genetik lagi," katanya.

Justeru, Dr Nur Aida berkata, racun yang digunakan untuk menghapuskan nyamuk itu harus sentiasa ditukar.

"Kita tak boleh guna satu-satu racun dalam tempoh yang terlalu panjang. Perlu guna racun yang berbeza atau ubah dos racun dari semasa ke semasa. Bagaimanapun kajian teliti perlu dilakukan bagi memastikan racun ini tidak memudaratkan hidupan lain, terutama manusia," katanya.

Berita Harian X