Khamis, 15 Oktober 2015 | 7:00am

FMBH 2015: Modest Culture tampilkan Prof Dr Muhaya


PROF Dr Muhaya menggayakan tudung daripada koleksi baru Modest Culture. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Pakar motivasi terkenal, Prof Dr Muhaya yang mempunyai hampir satu juta pengikut Facebook, bakal tampil pada Fiesta Muslimah BH 2015 (FMBH 2015) anjuran akhbar BH di Pusat Pameran Konvensyen MATRADE (MECC), pada 24 dan 25 Oktober ini.

Pengurus Projek Modest Culture Sdn Bhd, Nur Adila Shahrom, berkata pengunjung boleh berjumpa dan mendengar slot bual bicara bertajuk Fesyen, Kecantikan dan Kesihatan daripada Prof Dr Muhaya pada jam 2.30 petang, 24 Oktober ini.

Istimewa pada FMBH 2015 nanti, Modest Culture akan memberi potongan harga antara 10 hingga 50 peratus untuk koleksi tertentu.

Antaranya butik berkenaan akan menampilkan set baju kurung bersama tudung, yang dipanggil 'get it right' dengan harga RM289 manakala 'get it right platinum' berharga RM389.

"Koleksi baju kurung dengan potongan puplum dan dilengkapi skirt yang menggunakan fabrik lycra berkualiti tinggi, lembut, tidak perlu digosok. Koleksi ini juga boleh dibawa bersolat kerana siap dengan tudung yang menutupi dagu.

"Potongan 10 peratus untuk koleksi jubah Elegance dan Terrific, yang biasanya dijual pada harga RM169 sehingga RM299 manakala diskaun 50 peratus untuk koleksi skirt dan jubah smartmum, yang sekarang dijual pada harga antara RM99 sehingga RM180," katanya.


ANTARA koleksi Modest Culture yang ada di Fiesta Muslimah BH 2015. - Foto NSTP

Nur Adila berkata, Modest Culture turut menampilkan edisi istimewa DrMuhaya.com yang yang cuma 10 helai saja dijual dengan harga antara RM350 hingga RM499. Koleksi itu adalah antara yang digayakan oleh Prof Muhaya dalam program bual bicara di televisyen.

"Keyakinan terhadap BH, menyebabkan kami yakin membeli dua gerai. Kami optimis dapat menjual lebih RM30,000 sepanjang dua hari fiesta ini berlangsung, selain menghebahkan acara ini di laman Facebook bagi menarik orang ramai," katanya.

Modest Culture juga akan mengedarkan 100 buku dihasilkan Dr Muhaya bertajuk Celik Mata dan Jiwa berharga RM25 dan 100 selendang koleksi Gorgeous berharga RM49.

Nur Adila berkata, pihaknya teruja menyertai majlis ilmu seperti FMBH dan menyifatkan acara ini sangat memberi manfaat kepada peserta dan penganjur.

"Kami banyak menerima undangan membuka gerai, tetapi lebih selektif dengan memilih program sebegini sejajar dengan pengisiannya lebih padat. Ia berbentu ilmiah dan berharap ia diteruskan, pada masa depan," katanya.

Nur Adilah berkata, penyertaan pada FMBH 2015 tepat bagi mengukuhkan strategi penjenamaan produk mereka.

FMBH 2015 yang bertujuan memartabatkan fesyen Muslimah tempatan, adalah penganjuran kali kedua pada skala besar dengan 100 bazar jualan pelbagai jenama fesyen dibuka dan menyasarkan lebih 80,000 pengunjung.

Selain membeli-belah sambil berhibur, pengunjung turut berpeluang mendekati selebriti tempatan dan ikon fesyen kegemaran serta mengikuti program bual bicara.

Antara pempamer yang sudah mengesahkan penyertaan, termasuk barisan selebriti, antaranya Nur Fazura, Neelofa, Emma Maembong dan Rozita Che Wan dan Memey Suhaiza.


MODEST Culture akan memberi potongan harga antara 10 hingga 50 peratus untuk koleksi tertentu. - Foto NSTP

Berita Harian X