Khamis, 15 Oktober 2015 | 7:58pm

Kelab perniagaan ASEAN lawat London teroka peluang pelaburan ASEAN-UK

KUALA LUMPUR: Kelab Perniagaan ASEAN (ABC) mengetuai satu delegasi peringkat tinggi melawat London baru-baru ini untuk meneroka peluang pelaburan dua hala antara ASEAN dan UK.

Sorotan utama lawatan itu termasuklah mesyuarat meja bulat dengan Setiausaha Komersial kepada Perbendaharaan Lord O'Neill of Gatley di pejabat Perdana Menteri Britain di Downing Street.

O'Neill mempengerusikan mesyuarat meja bulat itu dengan perbincangan tertumpu kepada prospek unjuran pertumbuhan UK, dan pandangan negara itu tentang ekonomi global susulan kelembapan ekonomi China.

Panel itu juga membincangkan pungutan suara Kesatuan Eropah (EU) yang dijadual diadakan sebelum akhir 2017.

Delegasi itu disertai perbadanan utama dari ASEAN, terutamanya dari Malaysia seperti CIMB Group, AirAsia, AirAsia X, Ayala Corporation, YTL Corporation, Malaysian Resources Corp Bhd, Amcorp Properties, SapuraKencana Petroleum dan Astro.

"Kami komited untuk membangunkan Northern Powerhouse, dan mendapatkan pelaburan luar negara dalam beberapa projek utama Northern merupakan bahagian penting rancangan kami.

"Itulah sebabnya mengapa kami menggalakkan perniagaan utama ASEAN untuk merebut peluang pelaburan menarik di sini dan di UK untuk menyokong pembangunan prasarana utama kami, dan membantu mengembangkan ekonomi," kata O'Neill dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Setiausaha Negara UK bagi Perniagaan, Inovasi dan Kemahiran, Sajid Javid berucap kepada delegasi itu pada Dialog UK-ASEAN anjuran Asia House secara kerjasama dengan CIMB ASEAN Research Institute dan ABC.

"ASEAN, dengan penduduk seramai 600 juta orang adalah satu dari pasaran paling pantas berkembang di dunia. Di sini, di UK, sebagai sebahagian dari EU, kami menawarkan akses ke pasaran dengan populasi lebih 500 juta orang. Sesama kami, kami berkongsi akses ke pasaran yang besar yang menawarkan peluang perniagaan baharu dan menarik," katanya.

Persidangan itu membahaskan topik-topik semasa seperti "ASEAN Politics of Uncertainty: What's Going to Happen to AEC 2015?" dan "Developing ASEAN: Infrastructure Financing Opportunities".

Penceramah pada persidangan itu termasuklah Tan Sri Dr Munir Majid (Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN), Tan Sri Tony Fernandes (CEO Kumpulan AirAsia), Gregory Hodkinson (Pengerusi Arup), David Sayer (Pengerusi KPMG LLP UK, Pasaran Pertumbuhan Tinggi), Lord Mandelson (Pengerusi Global Counsel), dan Donald P Kanak (Pengerusi Bukan Eksekutif Prudential Corporation Asia).

Persidangan itu dihadiri wakil kanan daripada beberapa perbadanan terbesar UK, termasuk HSBC, Arup, Diageo, KPMG, BP, Liverpool FC, Lloyds, London Stock Exchange, BAE Systems, Pinsent Masons, Prudential, Kroll, Eversheds, Matheson & Co, Dyson, Bupa, Aon, Standard Chartered, Amec Foster Wheeler dan The Royal Bank of Scotland.

- BERNAMA

Berita Harian X