Jumaat, 16 Oktober 2015 | 3:53pm

MOSTI galak penyelidikan bidang pengurusan kesihatan - Abu Bakar

NAIB Canselor Universiti Teknikal Malaysia (UTEM), Prof Datuk Dr Shahrin Sahib (kiri) bertukar memorandum dengan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Ayer Keroh, Michael E C Wong sambil diperhatikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah (dua dari kiri) di Melaka, hari ini. - Foto Khairunisah Lokman

MELAKA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menggalakkan lebih banyak penyelidikan untuk menghasilkan produk atau teknologi dalam bidang pengurusan kesihatan sebagai usaha meningkatkan kualiti dan penyampaian sistem kesihatan di negara ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, berkata usaha itu perlu diberi penekanan di peringkat universiti atau institusi pengajian tinggi dengan sokongan pihak industri sekali gus memberi impak positif kepada negara.

Beliau berkata, produk atau hasil penyelidikan itu kemudian boleh dikomersilkan untuk manfaat semua pihak termasuk pesakit.

"MOSTI menyediakan pelbagai peruntukan bagi membantu penyelidik menghasikan teknologi atau produk dalam industri kesihatan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Hospital Pantai Ayer Keroh di sini, hari ini.

UTeM diwakili Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib dan Hospital Pantai Ayer Keroh oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Michael E C Wong yang turut dihadiri Pengerusi Hospital Pantai, Datuk Khairil Anuar Abdullah.

Abu Bakar berkata, kerjasama itu diharap menjadi perintis kepada universiti lain dan industri perubatan untuk berganding bahu menyediakan sistem pengurusan yang cekap dan berkualiti.

Beliau berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak berkenaan, yang membabitkan pemindahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan kejuruteraan dalam bidang perubatan, dapat dipertingkatkan menerusi hasil penyelidikan berimpak tinggi.

Sementara itu, Shahrin berkata, MoU membabitkan kerjasama melalui perisian dikenali sebagai 'Smart Ward' itu membantu Hospital Pantai menyediakan sistem pengurusan kesihatan pesakit yang lebih cekap dan dinamik.

"Ini adalah pencapaian terbaharu bagi UTeM untuk terus menjalin hubungan dengan industri terutama dalam bidang perubatan atau kesihatan yang memberi manfaat kepada warga UTeM," katanya.

Khairil Anuar berkata, penggunaan perisian berkenaan memudahkan pesakit untuk mendaftar dan keluar daripada hospital berkenaan melalui satu sistem yang mudah.

Beliau berkata, penggunaan itu akan diperluaskan di semua rangkaian Hospital Pantai dan Hospital Gleneagles di seluruh dunia secara berperingkat.

- BERNAMA

Berita Harian X