Jumaat, 16 Oktober 2015 | 7:29pm

Pelajar perlu bersedia hadapi sistem ekonomi digital - Madius

MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

TUARAN: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menasihatkan pelajar supaya bersiap sedia mulai sekarang untuk menghadapi ekonomi digital melalui penerokaan sains dan teknologi.

Katanya, penguasaan generasi muda dalam bidang berkenaan perlu terutama menjelang 2020 apabila perniagaan hanya dijalankan melalui dunia maya.

"Kerajaan menyasarkan 60 peratus daripada pelajar mengambil sains dan ini adalah sebahagian daripada sasaran yang telah ditetapkan oleh kerajaan untuk mencapai wawasan 2020. Setibanya 2020, Malaysia akan menjadi sebuah negara maju dalam bidang sains," katanya kepada pemberita selepas penyampaian kit pendidikan sempena Program Singgah Sains di Sekolah Kebangsaan Lokos, dekat sini, hari ini.

Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, pada masa kini aplikasi untuk mengesan keaslian spesies durian Musang King adalah antara aplikasi digital yang digunakan dan antara perkara baharu dalam ekonomi digital.

Aplikasi itu dapat menyimpan data yang diperoleh dengan tersusun.

Tambahnya, MOSTI juga mewujudkan sebuah aplikasi berasaskan web untuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang membolehkan pelanggan yang berada di luar negara mendapatkan produk tempatan.

Mengenai program sehari itu, Madius berkata ia melibatkan 143 pelajar dari sembilan sekolah rendah di Tuaran dan julung kali diadakan di Sabah oleh Pusat Sains Negara (PSN).

Katanya, program itu dilaksanakan bagi menarik minat para pelajar sekolah, khususnya di luar bandar dan pedalaman, untuk mempelajari sains.

"Aktiviti ini dirangka untuk meningkatkan pemikiran kritikal dalam kalangan pelajar selaras dengan usaha PSN memperkenalkan pembelajaran sains tidak formal berkonsepkan sains, teknologi, kejuruteraan, seni dan matematik," katanya.

Antara aktiviti dijalankan termasuk 'giant bubble', saintis tunas, bengkel 'fun with solid, liqiud and gas', dan bengkel 'biomass batery'.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X