Ahad, 18 Oktober 2015 | 10:25am

Izreen kecewa dengan Amar Baharin

IZREEN memuji Nabila Huda yang menjayakan watak Haryati dalam teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick. - Foto Instagram
IZREEN memuji Nabila Huda yang menjayakan watak Haryati dalam teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick. - Foto Instagram

KUALA LUMPUR: Pelakon Izreen Azminda memberikan komen mengenai pementasan teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick, yang dipentaskan di Istana Budaya, di sini.

Menerusi laman Instagram miliknya, Izreen secara terbuka memuji teraju utama, Nabila Huda yang menjayakan watak Haryati dan pada masa yang sama, menyuarakan rasa tidak puas hati dengan lakonan Amar Baharin, yang membawakan watak Zainuddin

"Keberkesanan Nabila melakonkan watak Haryati tidak dapat disangkal lagi. Dia dapat mendalami karakter itu dengan penuh penghayatan.

"Bagaimanapun, lakonan Amar Baharin, yang membawakan watak Zainuddin tidak memberi impak kepada penonton. Selain menuturkan dialog secara mendatar, ekspresi Amar juga tidak memberikan impak. Penekanan terhadap lontaran dialog juga kurang.

"Kesedihan dan keperitan hidup insan bernama Zainuddin gagal dijayakan. Harap Amar dan barisan pelakon lain dapat memperbaiki mutu lakonan pada malam terakhir esok," tambah Izreen.

LAKONAN Amar Baharin bersama Nabila Huda dalam pementasan teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick di Istana Budaya, Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Ali
LAKONAN Amar Baharin bersama Nabila Huda dalam pementasan teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick di Istana Budaya, Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Ali

Izreen sebelum ini ditawarkan watak Haryati, namun imej bertudungnya kurang bersesuaian dengan watak berkenaan.

Izreen mengakui bukan mudah untuk melakonkan karya agung yang diadaptasikan daripada tulisan Prof Dr Hamka atau nama sebenarnya Abdul Malik Karim Amrullah.

Teater itu dibawakan oleh Istana Budaya, GenSem dan CTRA Production serta dijayakan oleh barisan pelakon popular masa kini seperti Nabila Huda, Amar Baharin, Syarul Ridzwan dan Amyra Rosli.

KOMEN Izreen mengenai pementasan teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick. - Foto Instagram
KOMEN Izreen mengenai pementasan teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick. - Foto Instagram

Berita Harian X