Isnin, 19 Oktober 2015 | 12:04am
KETUA Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed

Hilang upaya, sakit bukan bererti tak boleh kerja


"KITA perlu segera ubah mentaliti majoriti pekerja di Malaysia bahawa jika mereka hilang upaya atau sakit, mereka sudah tidak boleh bekerja, tidak produktif dan hanya menunggu pampasan.

"Itu tidak betul, mereka sebenarnya masih ada ruang dan peluang untuk kembali bekerja. Bukannya melepak di rumah kerana itu akan menambah beban, bukannya menyelesaikan masalah," kata Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Atas kesedaran mahu membantu golongan inilah PERKESO mengambil pelbagai inisiatif untuk menempatkan kembali mereka ke alam pekerjaan. Langkah itu bukan saja mampu menambah pendapatan, malah juga meningkatkan pemikiran mereka supaya kembali cergas dan produktif.

Satu daripadanya ialah melalui program 'Return To Work' (RTW) atau kembali bekerja, yang memfokuskan kepada bagaimana PERKESO mampu membantu mereka yang mengalami kemalangan, hilang upaya, berpenyakit melalui program yang sistematik.

Mereka akan diberi peluang untuk pulih secara fizikal, mengikuti kemahiran vokasional dan akhirnya, mereka akan dibantu untuk kembali ke alam pekerjaan yang bersesuaian dengan keupayaan mereka.

Kemuncak pada pemulihan itu ialah melalui program Karnival Pekerjaan - PERKESO Prihatin, yang kini sudah memasuki fasa tahun keenam penganjuran. Semuanya semata-mata memberi peluang kepada mereka memilih sendiri pekerjaan yang bersesuaian mengikut kelayakan.

MAJLIS perasmian Karnival Pekerjaan 'Return To Work' (RTW) PERKESO 2015. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Karnival kali ini dianggap yang terbesar apabila membabitkan tawaran 3,000 jawatan melalui 26 syarikat dan agensi yang menyertai program. Walaupun ia bukan hanya dikhususkan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) dan peserta RTW, golongan itu tetap diberikan layanan istimewa.

"Kita sediakan khidmat kaunseling, gerai pameran oleh syarikat dan peserta boleh memilih jawatan yang ditawarkan mengikut keupayaan serta kelayakan masing-masing. Selain OKU dan peserta RTW, kita juga membantu orang yang tidak pernah mendapat peluang pekerjaan," kata Azman.

Secara tidak langsung, peluang itu juga akan digunakan majikan untuk mencarum pekerja mereka dengan PERKESO.

Tinjauan di karnival itu mendapati, lebih 1,000 peserta sudah mula mendaftar dalam tempoh sejam pertama pameran dibuka pada jam 10 pagi. Dianggarkan hampir 4,000 peserta mencuba nasib mengisi kekosongan 3,000 jawatan yang ditawarkan di seluruh negara.

Bahkan, wakil syarikat di situ dilihat tidak menang tangan melayan peserta yang berminat untuk menghantar resume mereka dan ada juga yang terus ditemuduga di situ.

Beberapa wakil syarikat yang ditemui juga meluahkan rasa bangga dapat membantu menjayakan karnival itu kerana bagi mereka, kedua-dua pihak iaitu syarikat dan peserta akan menerima manfaat daripada program sedemikian.

PENGURUS Cawangan Econsave Cash & Carry Sdn Bhd, Nor Rafidah Talib. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Pengurus Cawangan Econsave Cash & Carry Sdn Bhd, Nor Rafidah Talib, berkata pihaknya menerima banyak permohonan daripada pelbagai kelayakan seperti pemilik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diploma, ijazah serta golongan istimewa OKU.

"Kami lebih mementingkan keselesaan dan keupayaan pekerja. Kita tidak mahu tugasan yang diberikan itu memberi impak yang boleh memudaratkan pekerja. Jadi, kita kena tapis permohonan dan teliti jenis pekerjaan yang sesuai.

"Bagi golongan OKU, kebiasaannya mereka akan ditempatkan di jawatan urusan tunai atau menyusun barang. Jika mereka ada kelayakan lebih tinggi, mungkin akan ditempatkan di unit kerani atau stor," katanya.

Econsave yang kini mempunyai lebih 60 cawangan di seluruh negara sudah banyak kali menyertai karnival pekerjaan PERKESO, termasuk di Seremban, Negeri Sembilan dan Melaka.

Bagi mereka, persoalan kuota pekerja mengikut kategori OKU atau normal tidak pernah timbul kerana Econsave memang memerlukan pekerja yang ramai dan pemohon baharu akan dipilih mengikut keutamaan tempat tinggal mereka.

Bahkan ada juga pekerja dan golongan OKU yang menghantar terus permohonan kerja ke ibu pejabat Econsave selepas mendapat maklumat kerja kosong melalui iklan.

Pendekatan yang sama juga digunakan oleh syarikat Mr D.I.Y Sdn Bhd (Mr DIY) dalam menempatkan pekerja baharu terutama golongan OKU yang menyertai program RTW.

Pegawai Sumber Manusia Mr DIY, Seri kembangan, Nurdiyana Khalil mengakui sambutan peserta yang menyertai karnival pekerjaan kali ini sangat memberangsangkan dan pihaknya akan mencuba ke tahap maksimum untuk membantu mereka.

"Manusia normal boleh ditempatkan di mana-mana bahagian tetapi bagi OKU, kita kena tengok kesesuaian dengan keupayaan mereka. Adakah tugasan itu menyusahkan atau tidak? Adakah mereka mampu lakukan atau tidak?

MENTERI Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem bersalaman dan beramah mesra dengan peserta yang hadir ke Karnival Pekerjaan 'Return To Work' (RTW) PERKESO 2015. Turut bersama Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Abu Huraira Abu Yazid (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Dr Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed (tiga dari kiri). - Foto Mohd Yusni Ariffin

"Mereka akan diberi peluang sama rata kerana sasaran syarikat ialah menggaji seberapa ramai orang yang boleh bekerja tetapi tidak mendapat peluang pekerjaan seperti OKU. Inilah peluang terbaik mereka untuk kembali bekerja," katanya.

Berdasarkan sambutan luar biasa yang diterima, pihaknya akan melakukan saringan awal sebelum pemohon yang layak akan dipanggil untuk sesi temu duga dan mereka yang layak akan ditempatkan di lebih 160 cawangan di seluruh negara.

Ketika ini, Mr DIY sudah pun mempunyai ramai pekerja kategori OKU, termasuk beberapa orang yang mengalami cacat pendengaran dan bisu. Mereka ditempatkan di ibu pejabat Mr DIY dengan kerja penyusunan fail.

"Memang mereka bisu dan pekak, tetapi itu bukan masalah. Kita masih boleh berkomunikasi dengan bahasa isyarat mudah, kadangkala kita tulis arahan di atas kertas," katanya.

Nurdiyana yang pertama kali menyertai karnival pekerjaan PERKESO berkata, majikannya sentiasa akan menyokong program untuk membantu memberi pekerjaan kepada golongan yang tidak pernah mendapat peluang.

ANTARA testimoni peserta program 'Return To Work' (RTW). - Sumber www.perkeso.gov.my

INFO: Senarai majikan Karnival Pekerjaan RTW PERKESO 2015

  • 7 Eleven Malaysia Sdn Bhd
  • Aeon Co. (M) Sdn Bhd
  • Alloy MTD Group of Companies
  • Econsave Cash & Carry Sdn Bhd
  • Golden Arches Restaurants Sdn Bhd
  • IJM Highway Services Sdn Bhd ( New Pantai Expressway (NPE); Lebuhraya Kajang - Seremban (LEKAS) dan Besraya)
  • Lulu Group Retail Sdn Bhd
  • Maju Expressway Sdn Bhd
  • Mr D.I.Y Sdn Bhd
  • Mydin Mohamed Holding Bhd (MyMydin)
  • Parkson Corporation Sdn Bhd
  • Pullman Putrajaya Lakeside
  • QSR Brands Malaysia Holding Sdn Bhd (Efinite Value Sdn Bhd; Pizza Hut Restaurants; KFC Restaurants)
  • Queby Recovery Management Sdn Bhd
  • Pullman Kuala Lumpur City Centre Hotel & Residences
  • Scope International (M) Sdn Bhd
  • Allianz Malaysia Berhad
  • 99 Speedmart Sdn Bhd
  • Pos Malaysia Berhad (Pos Laju)
  • Sushi Kin Sdn Bhd
  • Jabatan Tenaga Kerja (Jobs Malaysia)
  • Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)

Tujuh tahun terlantar, Mohd Azlan akhirnya kembali menjadi sumber tenaga kerja aktif, hasil peluang yang dicetus PERKESO. Begitu juga `rakan senasibnya' yang lain. Ikuti kisah seterusnya, esok.

Berita Harian X