Isnin, 19 Oktober 2015 | 12:05am
FAZURA ketika melancarkan haruman badan di bawah jenama Mystical By Fazura, baru-baru ini. - Foto Zunnur Al Shafiq

Fazura 'shooting' di Amerika


BERSEMBANG dengannya, bibir wanita ini tidak henti-henti melafazkan rasa syukur. Mana tidaknya, sejak kebelakangan ini pintu rezekinya semakin terbuka luas, baik dalam bidang lakonan dan perniagaan.

Sebaik saja dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-27, September lalu, tawaran berlakon yang diterima oleh aktres jelita, Nur Fazura Sharifuddin, tidak pernah putus.

November depan dirinya akan terbang ke kota New York untuk menjalani penggambaran filem terbitan produksi dari Indonesia berjudul Bulan Terbelah di Langit Amerika.

Filem yang diadaptasikan daripada novel terlaris tulisan Hanum Rais dan Rangga Almahendra itu turut menyaksikan Fazura bakal dipertemukan dengan pelakon filem Heart dan Love Is Cinta, Acha Septriasa.

Dan pastinya, peluang seperti itu amat ditunggu-tunggu oleh pelakon ini.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan rezeki yang datang ketika ini. Jika tiada aral melintang, saya akan ke New York awal November depan untuk berlakon dengan produksi Indonesia. Tawaran itu datang pada September lalu.

"Untuk filem ini juga saya akan merakamkan lagu runut bunyi, sekali gus menyaksikan saya berduet Ridho Rhama yang juga anak kepada penyanyi terkenal Indonesia, Rhoma Irama. Gementar juga dibuatnya, tetapi pada masa sama saya berasa cukup seronok," cerita Fazura ketika ditemui pada majlis pelancaran haruman badan miliknya, Mystical, yang diadakan di butik House Of Doll (HOD), Kuala Lumpur, Rabu lalu.


PELAKON, Nur Fazura Sharifuddin. - Foto Zunnur Al Shafiq

Peluang kembang kerjaya

Menurut pelakon yang mula dikenali menerusi filem Bicara Hati ini, beliau menerima tawaran untuk membintangi filem arahan Rizal Mantovani itu kerana watak yang diberikan sangat berbeza.

Selain itu, dirinya turut peluang untuk menimba pengalaman bekerja dengan pengarah luar.

"Dalam filem ini saya akan membawakan watak sebagai Janet dan akan ada babak saya bersama Acha. Inilah juga peluang buat saya untuk mengembangkan bakat lakonan di luar negara. Filem ini akan ditayangkan dengan segera, iaitu pada Disember depan," cerita pelakon yang meraikan usia 32 tahun pada 27 September lalu.


PEMENANG Pelakon Wanita Terbaik FFM 27, Fazura (kanan) bersama Pelakon Lelaki Terbaik, Lee Sai Peng. - BH Online

Diintai produksi Hollywood

Khabarnya, pelakon, penyanyi, pengacara dan ahli perniagaan ini turut diintai oleh produksi Hollywood yang berhasrat mengambilnya berlakon dalam filem terbitan mereka.

Malah difahamkan, produksi terbabit sanggup turun ke Malaysia semata-mata untuk mengadakan sesi uji bakat. Jika benar perkhabaran diterima, ternyata andaian sebilangan pihak yang mengatakan trofi terbaik adalah badi yang mampu membuatkan pelakon sukar mendapat tawaran tidak benar.

"Saya akui sejak menang anugerah, banyak tawaran berlakon yang datang. Namun, saya terpaksa menolaknya dengan cara baik kerana kebanyakan watak yang ditawarkan tidak begitu berbeza dengan karakter pernah saya bawakan sebelum ini. Dalam situasi sekarang, saya memang lebih selektif.

"Bagi filem tempatan, besar kemungkinan saya akan kembali berlakon di bawah arahan Bernard Chauly. Sekarang, beliau sedang mencari watak yang sesuai untuk saya bawakan," ujarnya yang teringin beraksi dalam filem arahan sutradara Bunohan, Dain Said.


KERATAN akhbar sisipan B*POP BH pada 13 September lalu yang melaporkan berita kemenangan Fazura di FFM ke-27. - BH Online

Adakan persembahan di Hard Rock Cafe Melaka

Bermula dengan sebuah single berjudul Sayangi Dirimu, nampaknya kerjaya nyanyian Fazura semakin berkembang. Semalam (Ahad), Fazura bersama kumpulan The Wak Lu's menghiburkan peminatnya di pusat hiburan Hard Rock Cafe Melaka.

Bercerita mengenai persembahannya itu, Fazura berkata, selain dendangan sendiri, beliau turut menyampaikan lagu milik penyanyi lain, termasuk dalam bahasa Inggeris.

Dalam temubual itu, Fazura turut memaklumkan dirinya kini sudah tidak lagi diuruskan Farid Ramlee. Sebaliknya, insan yang bertanggungjawab menguruskan kerjayanya ketika ini ialah Iman Tang, yang turut dikenali di kalangan penggiat industri sebagai penganjur konsert.

Bagaimanapun tegasnya, perpisahan dengan Farid bukanlah kerana berlakunya salah faham mahupun pergaduhan. Sebaliknya ia dilakukan atas persetujuan masing-masing, serta dibuat dengan penuh profesionalisme.

"Farid ada tugas lain yang perlu dilaksanakan dan perpisahan ini dibuat secara baik. Kami tidak bergaduh pun.

"Pada awalnya memanglah penat kerana terpaksa menguruskan kerjaya saya bersendirian. Bagaimanapun, saya kini sudah ada pengurus baharu. Jadi, legalah sikit," katanya yang sedang menjalani penggambaran program realiti, Facing Up To Fazura, bagi musim kedua.


TIGA jenis haruman Mystical By Fazura ialah I Love Me (bauan Chamomile Honey), Berry Beautiful (Berry Mix) dan Spotlight (campuran variasi buah buahan). - Foto Zunnur Al Shafiq

Bakal muncul dengan pewangi tahun depan

Sebelum ini, Fazura pernah melahirkan hasrat untuk mempunyai empayar perniagaan sendiri. Bermula dengan pembukaan HOD yang sudah diusahakannya sejak tiga tahun lalu, diikuti dengan produk kesihatan Faz Fit, kini bakat kelahiran Pekan, Pahang, ini muncul dengan produk wangian badan sendiri.

Pada majlis pelancaran produk semburan badan itu, Fazura berkata, Mystical diibaratkan sebagai keluaran pengenalan sebelum dirinya muncul dengan pewangi mewah yang bakal dipasarkan tahun depan.

"Saya seorang yang sukakan benda yang wangi dan gemar mengumpul haruman. Justeru, apabila diberikan peluang, perniagaan inilah yang saya ingin lakukan bagi melengkapkan lagi empayar fesyen saya. Ia adalah produk pengenalan saya sebelum muncul dengan minyak wangi sendiri, tahun depan.

"Saya mengambil masa tiga bulan untuk proses penyelidikan dan pembangunan. Daripada jenis haruman yang dipilih hinggalah kepada rekaan botol, semuanya adalah idea saya sendiri," katanya sambil memberitahu, harumannya itu boleh digunakan oleh wanita dan lelaki.

Mempunyai tiga jenis haruman iaitu I Love Me (bauan Chamomile Honey), Berry Beautiful (Berry Mix) dan Spotlight (campuran variasi buah-buahan), produk ini boleh dibeli di butik HOD, secara dalam talian serta menerusi stokis yang dilantik. Ia akan berada di pasaran mulai 2 November depan.

INFO:

  • Nama penuh: Nur Fazura Sharifuddin
  • Tarikh Lahir: 27 September 1983
  • Asal: Pekan, Pahang
  • Keluarga: Anak ketiga daripada empat beradik
  • Filem: Bicara Hati, Senario XX, Qaisy dan Laila, Gol & Gincu, Kayangan, Selamat Pagi Cinta, Pisau Cukur, Lagenda Budak Setan, Bujang Terlajak, Kami Histeria, Tembus, Manisnya Cinta Di Cappadocia dan Langit Cinta.

Berita Harian X