Isnin, 19 Oktober 2015 | 9:24am

Kerajaan perlu lihat semula perjanjian tol

SETIAP kali kadar tol naik, rakyat marah dan sasaran kritikan adalah kerajaan, meskipun mengikut perjanjian antara kerajaan dan pemegang konsesi, tol perlu dinaikkan pada tempoh tertentu dan jika tidak, kerajaan terpaksa membayar pampasan.

Berputih mata rakyat di Pantai Timur yang kurang jalan bertol atau penduduk Sarawak dan Sabah, yang tiada tol tetapi duit mereka juga digunakan untuk bayar pampasan itu.

Mungkin elok disemak semula perjanjian itu, yang bagaikan 'berat sebelah' serta memihak kepada pemegang konsesi lebuh raya, bukan kepada kerajaan atau pengguna.

Kerajaan perlu memikirkan sesuatu bagaimana untuk mengelak kenaikan tol, kerana jika dibiarkan, dalam tempoh 10 tahun akan datang, bayaran tol mungkin menjadi lebih mahal daripada kos minyak kenderaan.

Antara yang boleh difikirkan ialah memasukkan jalan keluar (klausa) dalam setiap perjanjian konsesi lebuh raya bertol pada masa depan bagi membolehkan syarikat konsesi tidak memperoleh keuntungan berlebihan.

Misalnya, sebaik syarikat konsesi memperoleh keuntungan, kutipan tol harus diberhentikan walaupun sebelum tempoh konsesi tamat dan kembalikan lebuh raya kepada pengurusan kerajaan.

Difahamkan, dalam perjanjian sebelum ini, tiada butiran jangkaan jumlah trafik atau kereta melalui lebuh raya dimasukkan untuk 'mengikat' sebarang kenaikan tol, andai jumlah trafik berganda yang boleh menentukan kadar kenaikan, malah jika perlu, diturunkan kadar tol setelah keuntungan ketara dicatat.

Untuk menampung kos operasi, penyenggaraan dan menambahbaik keadaan lebuh raya itu perlu dirundingkan antara pemegang konsesi dan kerajaan.

Buat masa ini, antara langkah dilakukan kerajaan bagi mengelak tol dinaikkan serta membayar pampasan ialah memanjang tempoh konsesi sehingga tahun 2021, 2030 dan 2038 bagi konsesi tertentu dan tindakan ini juga perlu dilihat semula.

Satu lagi langkah yang perlu difikirkan ialah kenaikan kadar tol bagi lebuh raya hanya dibenarkan bagi laluan yang mempunyai jalan alternatif.

Jika sudah mencatat untung, mansuh bayaran tol, roboh plaza tol dan biar pengguna menggunakan lebuh raya tanpa bertol. Soal penyenggaraan jalan dan operasi kawasan rehat & rawat pula, serah kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di lokasi berkenaan dan kekalkan sewa gerai bagi mendapat hasil.

Kita faham, syarikat konsesi tidak boleh rugi kerana perlu bertanggungjawab kepada pemegang saham syarikat, tetapi mereka juga perlu faham, kemudahan yang diusahakan untuk keselesaan rakyat. Jadikan projek penswastaan kerajaan untuk kesenangan rakyat kemudian hari, bukan membebankan rakyat.

Biar swasta yang ada kepakaran dan modal bina lebuh raya, kutip tol bagi mendapat balik modal atau bayaran pinjaman kepada bank dan bila semua selesai serta mencatat sedikit keuntungan, hentikan kutipan tol dan serahkan lebuh raya 'tanpa tol' itu kepada kerajaan.

Pada masa akan datang, kerajaan perlu memastikan syarikat cuma mengambil keuntungan munasabah apabila diberi konsesi projek yang ada kaitan secara langsung dengan pengguna seperti kutipan tol, bukan terus menjadi 'kilang cetak duit' untuk 30 atau 50 tahun akan datang.

Berita Harian X