Selasa, 20 Oktober 2015 | 12:06am
SEBAHAGIAN pengunjung di Karnival Pekerjaan - PERKESO Prihatin di ibu negara, baru-baru ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Program Return To Work PERKESO ceriakan OKU


TUJUH tahun terlantar di pembaringan, tidak terdaya dan hidup penuh elemen putus asa membuatkan Mohd Azlan Berahim, 30, berasakan dia sudah bosan kerana terlalu kecewa pada diri sendiri.

Detik hitam dalam hidup apabila disahkan lumpuh dari pinggang ke bawah akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2005 mahu dipadam terus dalam kamus hidupnya dan mahu memulakan hidup baharu.

Dia tidak mahu lagi dikenali sebagai Azlan yang lumpuh tetapi mahu hidup berdikari dan jika mampu, mahu membalas jasa kedua ibu-bapanya. Caranya cuma satu, anak keenam daripada lapan beradik ini mesti bekerja mengikut keupayaan diri.

Setakat ini, semuanya semakin positif selepas Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membantunya berdikari, bagaimana menguruskan diri sendiri, belajar teknik menggunakan kerusi roda melalui pusat rehalibisasi di Kota Bahru, Kelantan pada tahun 2012 dan kini, menjalani latihan susulan di Melaka.

Kini, Mohd Azlan semakin yakin bahkan mampu memandu kenderaan sendiri. Itu bermakna anak kelahiran Kota Bahru ini tidak perlu bergantung kepada sesiapa untuk ke mana-mana saja.

"Tahap keyakinan diri semakin baik. Saya sudah mahir bagaimana caranya mahu melipat dan memasukkan kerusi roda ke dalam kereta. Cuma saya berharap saya akan diterima bekerja. Jika saya bekerja di Kota Bahru, lebih senang saya nak membantu keluarga.

MOHD Azlan Berahim. - Foto Mohd Yusni Ariffin

"Jika diberi pilihan, saya mahu melakukan kerja menggunakan komputer kerana saya tidak perlu banyak bergerak," katanya ketika ditemui BH.

Anak muda ini adalah antara ribuan pencari kerja yang datang mencuba nasib di Karnival Pekerjaan - Perkeso Prihatin di ibu negara, baru-baru ini.

Baginya, status Orang Kelainan Upaya (OKU) bukanlah halangan untuk menjalani hidup normal, apatah lagi dulu dia pernah bekerja dan merasai nikmat menerima gaji bulanan.

Melalui program Return To Work (RTW) PERKESO, golongan OKU turut diberi peluang untuk kembali bekerja mengikut kesesuaian dan keupayaan masing-masing. Sekurang-kurangnya nasib mereka lebih terbela dan mempunyai pendapatan tetap.

Yong Fook Ngian, 53, juga turut mendaftar di karnival itu dengan harapan dia akan kembali diterima bekerja walaupun di syarikat yang berlainan. Dulu, bapa kepada tiga anak ini bekerja sebagai jurukimpal tetapi ditamatkan perkhidmatan selepas terbabit dalam kemalangan pada Mac lalu.

Dalam kejadian itu, Fook Ngian, yang sedang mengimpal paip terjatuh dari bumbung bangunan dianggarkan setinggi lima meter di Melaka dan koma selama dua minggu akibat kecederaan parah di kepala.

YONG Fook Ngian. - Foto Mohd Yusni Ariffin

"Kontraktor dan rakan sekerja menemui saya terbaring di dalam stor bangunan. Mereka kata darah banyak mengalir keluar daripada hidung, mulut dan mata saya," katanya yang menjalani pembedahan membuang darah beku di bahagian otak di Hospital Pantai Air Keruh, Melaka.

Akibat kemalangan itu, beliau tidak mampu berdiri dan menjalani proses pemulihan selama dua bulan untuk kembali pulih. Kini, Fook Ngian sudah mampu berjalan sendiri dan ingin kembali bekerja untuk menyara keluarga dan anak-anak yang semuanya masih bersekolah.

Dia menghantar permohonan kepada syarikat 99 Speedmart Sdn Bhd dan Econsave Cash & Carry Sdn Bhd dengan harapan akan diberikan tugas di bahagian stor tetapi masih trauma untuk bekerja di tempat tinggi.

Seorang lagi OKU, Santhi Bangadasalam, 38, juga mengharapkan perkara yang sama iaitu kembali diterima bekerja walaupun di syarikat yang berlainan dan jika diberi pilihan, dia mahu berkhidmat di Melaka.

Santhi mengalami kecederaan kekal di kaki kanan akibat kemalangan jalan raya pada Januari lalu dan kini, terpaksa berjalan menggunakan tongkat.

Sejak ditimpa kemalangan itu, bekas ketua tukang cuci di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Cawangan Melaka ini, terus ditimpa musibah berganda apabila dua bulan selepas itu, suaminya pula meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Melaka.

SANTHI Bangadasalam. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Kematian suami yang baru dikahwini selama dua bulan sebelum kemalangan itu berlaku menyebabkan Santhi mengalami tekanan emosi berganda kerana ketika bergelut untuk pulih, dia kehilangan tempat bergantung.

"Siapa yang tidak sedih. Kaki hancur, suami pula meninggal dunia. Dua bulan saya dirawat di hospital dan selepas lima bulan menjalani pemulihan, barulah saya boleh berjalan sendiri walaupun perlu bertongkat," katanya.

Walaupun menerima pampasan bulanan insuran kematian suami dan kecacatan yang dialami, Santhi tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan untuk tidak bekerja kerana dia masih mempunyai lima beradik serta ibu untuk ditanggung.

Atas sebab itulah, dia menyertai program RTW dan mendaftar untuk mencari pekerjaan. Disebabkan kecacatan kakinya, Santhi memohon untuk bekerja sebagai juruwang atau di bahagian kaunter di mana-mana syarikat berdekatan rumahnya di Jasin, Melaka.

Seorang lagi peserta RTW, Rosmawati Ismail, 49, mempunyai pengalaman bekerja sebagai pengurus selama 33 tahun sebelum disahkan menghidap penyakit saraf, buah pinggang dan darah tinggi pada tahun 2013.

"Puncanya, saya terjatuh dan tidak mampu berjalan. Doktor sahkan saya ada penyakit lain. Selepas setahun berhenti kerja, doktor menasihatkan saya kembali bekerja supaya otak kembali cergas dan berfungsi lebih baik.

"Pada tahun 2014, saya diterima bekerja di tempat sama tetapi cuma melakukan kerja di dalam pejabat. Bukan rezeki, apabila masuk tahun baru (2015), saya diberhentikan dan tidak layak menerima pencen ilat kerana saya tidak kehilangan anggota badan atau cacat," katanya.

Rosmawati yang menggunakan kerusi roda datang ke karnival pekerjaan itu bersama suaminya, Mohd Kamil, mengharapkan diberi peluang untuk kembali bekerja dan percaya kelayakan serta pengalaman yang dimilikinya mungkin mampu menambat hati mana-mana syarikat berkaitan.

Berita Harian X