Selasa, 20 Oktober 2015 | 8:34am

Menjelang Bajet 2016: Harapan pembeli rumah kali pertama

PERUMAHAN dan kehidupan di bandar adalah antara aspek utama yang dijangka diberi tumpuan oleh kerajaan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2016, Jumaat ini.

Ini berikutan, wujud pelbagai rungutan dalam kalangan masyarakat mengenai kesukaran memiliki rumah disebabkan harganya yang melambung tinggi dan kesukaran mendapatkan kelulusan pinjaman untuk membelinya, hingga wujud gesaan supaya kerajaan mengkaji semula beberapa peraturan semasa, terutama untuk pemilik rumah kali pertama.

Penolakan pinjaman untuk membeli rumah juga dikatakan menjadi antara sebab utama jumlah transaksi hartanah menjadi rendah dan kelembapan sektor berkenaan.

Tinjauan oleh Institut Penyelidikan Khazanah baru-baru ini membuktikan pasaran hartanah negara sedang berdepan dengan masalah kos pemilikan rumah yang terlalu mahal dan tidak mampu dimiliki.

Perkenal peraturan

Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini memperkenalkan beberapa peraturan seperti Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT), kelulusan pemberian pinjaman perumahan yang ketat serta harga rumah minimum RM1 juta kepada warga asing bagi mengekang spekulasi harga untuk membendung kenaikan harga rumah yang tidak terkawal.

Maklumat Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menunjukkan, daripada 10,877 buah rumah yang dilancarkan sepanjang separuh pertama tahun ini, hanya 4,373 unit terjual.

Bagaimanapun, kebanyakan rumah yang tidak terjual itu berharga dalam lingkungan RM500,000 hingga RM1 juta seunit, iaitu pilihan utama bagi kebanyakan keluarga bandar kelas pertengahan.

Bagi mengatasi permasalahan itu, REHDA menggariskan enam langkah untuk diberi perhatian oleh kerajaan dalam pembentangan Bajet 2016, yang disifatkan perlu dalam usaha menangani kos projek pembinaan perumahan dan kenaikan harga rumah ketika ini, selain menggalakkan pembinaan rumah mampu milik oleh pemaju terutama di bandar raya utama seperti Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Enam langkah itu ialah memudahkan pemilikan rumah, penilaian semula polisi kuota Bumiputera, mengurangkan kos perniagaan untuk pengusaha industri, meningkatkan bekalan rumah mampu milik, menggalakkan penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) serta pengecualian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi rumah mampu milik atau hartanah kawalan.

Laman web hartanah, PropertyGuru, menyifatkan Bajet 2016 boleh dijadikan landasan terbaik untuk memudahkan lagi syarat pinjaman perumahan khususnya bagi golongan pembeli rumah pertama.

Kaji semula pinjaman perumahan

Pengurus Negara Malaysia PropertyGuru, Sheldon Fernandez, berkata pemerhatian pihaknya mendapati ejen hartanah, penyedia pinjaman, pemaju hartanah dan pembeli bersetuju bahawa sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula dasar pinjaman perumahan semasa bagi memberi peluang sewajarnya kepada pemohon baharu.

"Permohonan pinjaman yang tidak diluluskan adalah antara punca utama kadar transaksi pembelian rumah yang rendah. Tinjauan pendapat pembeli yang kami jalankan mendapati, kesukaran mendapatkan kelulusan pinjaman bank adalah punca utama pembeli tidak berpuas hati," kata Fernandez.

Tinjauan PropertyGuru mendapati, golongan paling terjejas adalah mereka yang berpendapatan sederhana dan tidak layak untuk memohon skim perumahan kos rendah.

Malah, golongan itu juga berdepan dengan kesukaran membeli hartanah dari pasaran sedia ada ekoran masalah mendapatkan bantuan kewangan.

Menurut Fernandez, PropertyGuru yakin bahawa cadangan menilai semula peraturan serta syarat pembiayaan dan pinjaman perumahan khasnya untuk pembeli rumah kali pertama bakal disambut baik pelbagai pihak di dalam industri hartanah.

"Dengan pembentangan Bajet 2016 yang bakal menjelang tiba, ini adalah masa terbaik untuk menilai semula langkah kewangan sedia ada yang telah pun berjaya mengurangkan spekulasi dan menyejukkan pasaran sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Mah Sing Group Bhd mahu kerajaan mengembalikan Skim Tanggungan Faedah Pemaju (DIBS) dalam Bajet 2016, namun hanya untuk pembeli rumah kali pertama.

Pemaju perumahan itu berkata, skim berkenaan akan mempermudah pembelian kediaman oleh pembeli rumah tulen dengan membolehkan mereka mengikat hartanah pada harga semasa.

Berita Harian X