Selasa, 20 Oktober 2015 | 2:58pm

Kadar air tanpa hasil negara masih jauh daripada sasaran - SPAN

KOTA BHARU: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mendapati kadar air tanpa hasil (NRW) seluruh negara masih jauh daripada sasaran 25 peratus menjelang 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Mohd Ridhuan Ismail, berkata kadar NRW sedia ada perlu diturunkan bagi memastikan keupayaan sistem agihan dan pembekalan air kepada pengguna berada pada tahap maksimum.

"Sehingga Mac 2015, Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan telah mengalami kehilangan air yang dirawat dan tidak memberi pulangan hasil sebanyak 33.6 peratus. Kadar NRW Kelantan pula pada kadar 52.1 peratus bersamaan kerugian sebanyak 234 juta liter sehari," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Kontraktor Tukang Paip Kelantan 2015 di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Operasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur Maliki Endut dan Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) Mohamad Hanapi Mahmud.

Mohd Ridhuan berkata, di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha pengurangan kadar NRW peringkat nasional kepada 25 peratus.

Namun, katanya, memandangkan pencapaian kadar NRW sedia ada masih jauh adalah penting semua pihak termasuk pembekal produk, kontraktor serta tukang paip, memahami dengan jelas tanggungjawab dan peranan masing-masing supaya isu NRW itu dapat diatasi.

Beliau berkata, antara faktor utama berlakunya NRW adalah penggunaan produk yang tidak standard dan mutu kerja yang tidak mematuhi spesifikasi.

"Sehubungan itu SPAN mengadakan seminar ini sebagai langkah meningkatkan kecekapan dan kualiti kerja tukang paip sebagai pihak penting dalam rantaian industri pembinaan khususnya dalam industri bekalan air dan pembentungan," katanya.

Seminar siri ketiga anjuran SPAN melibatkan 200 peserta itu juga memberi penekanan kepada pematuhan terhadap Akta Industri Perkhidmatan Air (IPA) 2006 (Akta 655).

SPAN adalah sebuah badan kawal selia teknikal dan ekonomi yang berperanan mengawal selia perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembentungan di Semananjung Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.

- BERNAMA

Berita Harian X