Khamis, 22 Oktober 2015 | 12:00am
PEMANDANGAN Kuala Lumpur sebelum dan selepas jerebu.
INDONESIA menolak bantuan Singapura untuk memadam kebakaran dengan alasan negaranya memiliki sumber mencukupi.

Jerebu 2015 undang konfrontasi serantau

Rumah Api Bukit Jugra. - Foto Zubir Mohd Yunus

KRISIS jerebu di Asia Tenggara memasuki tahap menjengkelkan apabila insiden yang sama berulang setiap tahun.

Bosan dengan ruang udara diselaputi jerebu membuat Singapura tanpa teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas lima syarikat Indonesia yang didakwa bertanggung jawab melakukan kebakaran.

Berdasarkan Akta Pencemaran Jerebu Antara Sempadan 2014, Singapura boleh mengenakan denda sehingga S$100,000 (RM308,000) setiap hari disebabkan jerebu mencecah paras bahaya di republik itu, tertakluk kepada jumlah maksimum S$2 juta (RM6.17 juta).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan awal bulan lalu, kerajaan Singapura berkata ia meneliti cara untuk mengenakan tekanan ekonomi terhadap syarikat tidak bertanggungjawab, termasuk penilaian keuntungan.

Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura, Vivian Balakrishnan, berkata masalah jerebu sudah berlanjutan terlalu lama. Pencemaran akibat jerebu sudah berlarutan sejak ia kali pertama muncul hampir 20 tahun lalu.

"Ini bukan bencana alam semula jadi. Jerebu adalah masalah buatan manusia yang tidak boleh diterima. Ia menyebabkan kesan besar kepada kesihatan, masyarakat dan ekonomi rantau ini," katanya.

Jerebu tahun ini mencatat sejarah tersendiri apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah hingga ke paras 2000 di ibu negeri wilayah Kalimantan Tengah, Palangkaraya pada jam 2.00 petang, 25 September lalu. Keadaan itu memaksa pihak berkuasa tempatan mengisytiharkan darurat.

Tindakan yang sama terpaksa dilakukan Pemangku Gabenor Wilayah Riau, Arsyadjuliandi Rachman, yang memanjangkan tempoh darurat jerebu untuk tempoh 14 hari lagi.

"Melihat kepada keadaan semasa, adalah perlu untuk kami memanjangkan tempoh darurat jerebu untuk tempoh 14 hari lagi. Fokus kami kini tertumpu kepada tahap kesihatan rakyat," katanya.

Isu jerebu juga menjadi medan pertikaman lidah kalangan pemimpin Asia Tenggara apabila Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla mengecilkan hati jirannya dengan kenyataan republik itu tidak perlu memohon maaf kepada jirannya, terutama Malaysia dan Singapura akibat kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan.

Laman web kompas.com memetiknya sebagai berkata, Indonesia hanya perlu memastikan kebakaran hutan penyebab jerebu tidak berulang.

"Lihat berapa lama mereka (Malaysia dan Singapura) menikmati udara segar daripada persekitaran hijau dan hutan kami apabila tiada kebakaran. Mungkin selama beberapa bulan (dalam setahun). Adakah mereka berterima kasih?

"Namun, apabila kebakaran hutan berlaku, sebulan paling lama, jerebu mencemarkan rantau mereka. Justeru, mengapa perlu ada permohonan maaf?" katanya pada 25 September lalu.

Kenyataan itu mengundang kritikan Menteri Luar dan Kehakiman Singapura, K Shanmugam, yang menulis dalam ruangan Facebook pada malam 25 September, melahirkan perasaan kurang senang atas apa yang dirujuknya sebagai kenyataan mengejutkan dibuat di peringkat kanan daripada Indonesia, dengan jelas tidak mempedulikan rakyat kami dan rakyatnya sendiri.

"Bagaimana mungkin seorang individu kanan kerajaan mengeluarkan kenyataan seperti itu, tanpa mempedulikan kebajikan rakyat mereka, atau kami dan tanpa rasa malu atau sikap bertanggungjawab?" tulis menteri berkenaan.

Shanmugam bagaimanapun tidak menamakan secara khusus individu berkenaan atau menjelaskan kenyataan yang dipersoalkan ketika itu, namun sudah terang lagi bersuluh siapa yang dimaksudkannya.

Malapetaka jerebu angkara perbuatan manusia rakus ternyata mengancam nyawa rakyat Indonesia sendiri hingga lebih daripada 135,000 orang dilaporkan berdepan masalah kesihatan membabitkan pernafasan.?

Keadaan jerebu bukan hanya menimbulkan masalah pernafasan, malah penyakit lain seperti mata, sakit tekak, asma, batuk dan penyakit berkaitan paru-paru.

Selain masalah kesihatan, jerebu yang dianggap terburuk dalam sejarah itu juga pada masa sama menjejaskan sektor ekonomi.

Kira-kira 10,000 peniaga di daerah Dumai, Riau, merungut kerana kurang jumlah pelanggan bertandang ke gerai mereka kerana keadaan jerebu. Pendapatan mereka berkurangan sebanyak 50 peratus sejak krisis jerebu bermula. Jika keadaan berlarutan mereka terpaksa memikul beban hutang.

Penganjuran sukan lumba kereta F1 di Singapura dikatakan terjejas hingga memaksa perlumbaan berlangsung pada waktu malam. Pemandu dikatakan terdedah kepada ancaman kesihatan seperti batuk yang menjejaskan tumpuan pemanduan.

Insiden jerebu bukan perkara baharu saban tahun dan saban tahun juga kita mendengar janji Indonesia supaya keadaan tidak berulang. Keadaan diburukkan lagi dengan fenomena El-Nino yang secara tidak langsung merangsang pembakaran tanah gambut.

Keadaan tanah gambut setebal dua meter juga dikatakan memberi cabaran utama kepada kerja memadam api kerana terbakar hingga ke dasar tanah.

Terbaru, Indonesia menolak bantuan Singapura dengan alasan negaranya memiliki sumber yang cukup untuk menangani kebakaran terbabit.

Menyamai insiden tahun 1997

Saintis di Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) Jumaat lalu memberi amaran, jerebu terburuk dalam sejarah tahun ini menyamai trajektori tahun 1997, dianggap secara meluas jerebu paling serius mengikut rekod, dan mungkin melebihi paras tidak dijangka.

Saintis Universiti Columbia berpusat di Institut Kajian Angkasa Lepas Goddard, Robert Field, dipetik sebagai berkata, keadaan di Singapura dan tenggara Sumatera mengekori rapat dengan insiden tahun 1997.

"Jika ramalan untuk musim panas kering berlarutan, ia tidak mustahil tahun 2015 tersenarai antara jerebu paling buruk dalam sejarah," katanya.

Seorang pakar jerebu di Pusat Penyelidikan Perhutanan Antarabangsa berpusat di Indonesia, Herry Purnomo, bersetuju situasi itu menyamai tahun 1997, menggambarkan magnitud kebakaran tahun ini sebagai 'menakutkan'.

"Saya percaya impak kebakaran tahun ini sama teruknya seperti tahun 1997, dari segi kos," katanya kepada AFP.

Hasil kajian diterbitkan dalam jurnal 'Environmental Research Letters' mendedahkan 59 peratus daripada kebakaran di Sumatera dan 73 peratus di Kalimantan berpunca daripada pembakaran kayu dan sempadan konsesi industri minyak sawit.

Ketua Polis Indonesia, Jeneral Badrodin Haiti, memberitahu media di Kuala Lumpur, baru-baru ini, seramai 40 individu dan syarikat akan didakwa kerana terbabit dengan pembakaran terbuka yang menjadi punca krisis jerebu berterusan.

Presidennya, Joko Widodo (Jokowi) dalam satu temuramah ekslusif dengan BBC berkata, kerajaan republik itu memerlukan tempoh tiga tahun bagi menangani jerebu.

"Kamu akan melihat hasilnya tidak lama lagi, dalam tempoh tiga tahun kami akan menyelesaikan masalah ini," katanya.

Indonesia mengerahkan lebih 20,000 tentera, polis dan kakitangan berkaitan ke Sumatera dan Kalimantan untuk memadam kebakaran menerusi teknik mengebom air dan hujan kimia.

Adakah Indonesia mampu sedangkan beberapa laporan media mendedahkan timbul beberapa masalah yang dilihat mampu menjejaskan usaha memadam kebakaran antaranya kekurangan sumber air dan peralatan yang sesuai serta mencukupi.?

Seharusnya, Indonesia belajar daripada pengalaman Amerika Syarikat dalam memadam kebakaran serta mengikis sikap egonya dalam situasi kritikal dengan menerima kepakaran negara berpengalaman dalam mempercepatkan usaha memadam kebakaran.

Adakah kerajaan pimpinan Jokowi mampu mengakhiri krisis tahunan yang membelenggu Asia Tenggara selama ini, kita sama-sama tunggu hasilnya.

INFO

5 syarikat Indonesia dalang kebakaran hutan

  • Asia Pulp and Paper (APP)
  • Rimba Hutani Mas
  • Sebangun Bumi Andalas Wood Industries
  • Bumi Sriwijaya Sentosa
  • Wachyuni Mandira.

Lebih 20,000 anggota tentera, polis dan kakitangan berkaitan dihantar ke Sumatera dan Kalimantan untuk memadam kebakaran menerusi teknik mengebom air dan hujan kimia

210 kes pembakaran terbuka dikesan di Sumatera serta Kalimantan

4 lesen dikenakan tindakan, termasuk satu pembatalan, manakala 3 lagi dibekukan

Pangkalan data Pelepasan Kebakaran Global dikaitkan NASA menganggarkan kira-kira 600 juta tan gas rumah hijau dilepaskan dalam kebakaran hutan tahun ini

Berita Harian X