Khamis, 22 Oktober 2015 | 10:17am

Dafi sudah lama pasang niat berlakon dengan Erma Fatima

[email protected]


PELAKON teater Mak Cun, Dafi. - Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Sejak mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan, Dafi sebenarnya cukup teringin bekerjasama di bawah arahan sutradara Erma Fatima. Lama menanti, akhirnya impian itu menjadi realiti hanya pada tahun ini. Dafi sudah mengesahkan dia adalah antara pelakon teater Mak Cun yang diarahkan pengarah berkenaan. Ia akan dipentaskan di Istana Budaya pada 14 hingga 22 November depan.

Ikut perkiraan ini teater kedua Dafi dalam tahun 2015 selepas teater Maduku Kalut 2. Tetapi secara keseluruhan, Dafi sudah berlakon lima teater termasuk teater Di Bawah Lindungan Kaabah, Kenangan Mengusik Jiwa 60-an dan Dreamgirls. Dalam teater Mak Cun terbitan Rumah Karya Citra dengan kerjasama Istana Budaya, Dafi memegang watak seorang pegawai kerajaan bernama Meor.

"Sebelum ini kalau dengar nama Erma Fatima, saya sendiri gerun dan takut untuk bekerja dengannya. Tetapi saya percaya, dia tegas dengan cara tersendiri. Itu juga cara untuk saya belajar disiplin diri Malah selama ini, saya tak pernah bertemu dekat dengannya. Hanya kelmarin, saya buat kali pertama bertemunya untuk sesi pembacaan skrip.

"Semestinya saya teruja untuk beraksi dalam teater arahannya. Teater kini banyak mengajar saya aspek lakonan. Dahulu saya berlakon semata-mata nak berlakon sahaja. Namun kini seiring dengan pengalaman yang ditimba, saya ambil tahu banyak perkara. Bidang teater banyak membantu saya sebenarnya untuk lebih kenal apa itu lakonan.

"Kini selain nyanyian yang berada di tangga pertama, saya lebih utamakan bidang teater berbanding lakon TV. Menerusi teater kita cepat mendapat maklum balas secara langsung. Apabila dipuji, semestinya ia satu kepuasan maksima.

"Dikritik itu biasa, saya jadikan ia sebagai ruang untuk terus memperbaiki diri," katanya yang baru-baru ini menerusi syarikat sendiri Laugh Out Loud Entertainment Sdn Bhd dinobatkan sebagai pemenang bagi Anugerah ASEAN Outstanding Business 2015, untuk kategori ASEAN Most Recognized Brand Emerging Performance Artist Of The Year.

Mengenai perkembangan nyanyiannya, Dafi yang menjadi artis pertama Malaysia menaungi syarikat Republik Cinta milik komposer Ahmad Dhani memberitahu albumnya sudah 50 peratus siap. Ketika ini sudah lima lagu dirakamkan yang rata-ratanya berkonsepkan pop.

"Sejak bulan puasa lagi, saya berulang alik ke Jakarta dan Kuala Lumpur. Saya cuba curi masa untuk ke sana. Dalam hal ini, Ahmad Dhani juga terbuka jika saya ada idea untuk memantapkan lagi lagu yang dirakamkan," katanya teruja.

Dafi juga baharu sahaja muncul dengan single Sempurna di Malaysia. Lagu ini dirakamkan Dafi ketika dia sibuk dengan pementasan teater Maduku Kalut 2. Lagu ciptaan Mohamad Akid Mohd Pauzi (Akid) dan lirik oleh Iman Imran itu diterbitkan Baby dari kumpulan Hyper Act. Aepul dari kumpulan Drama Band turut bertindak sebagai jurulatih vokal untuk Dafi bagi lagu berkenaan.

Bagi yang berminat menonton teater Mak Cun yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya boleh melayari www.redtix.airasia.com.

Berita Harian X