Khamis, 22 Oktober 2015 | 11:22am

MITA minta cukai korporat PKS dikurangkan kepada 15 peratus

KLANG: Persatuan Peniaga Tekstil dan Barang Am India Malaysia (MITA) minta kerajaan mengurangkan cukai korporat ke atas Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), daripada 20 peratus kepada 15 peratus, dalam pembentangan Bajet 2016 esok.

Setiausaha persatuan, Maheswary Ramasamy, berkata langkah itu perlu berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai 1 April lalu selain penyusutan nilai ringgit yang menjejaskan perniagaan PKS.

"Peningkatan dolar AS menyebabkan kenaikan ketara harga barangan import.

"Kami, peniaga tekstil yang menjual barangan India seperti sari, pakaian siap jahit, barangan perak dan loyang, tiada pilihan melainkan mengimport produk dari India memandangkan 90 peratus daripada barangan runcit kami dihasilkan di India.

"Oleh itu, peningkatan dolar AS menjejaskan teruk perniagaan mereka. Walaupun perniagaan merosot, peniaga perlu membayar GST dan cukai pendapatan," katanya ditanya mengenai senarai harapan MITA untuk Bajet 2016 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok.

Beliau juga mencadangkan kerajaan menimbang untuk mengurangkan kadar cukai pendapatan daripada 25 peratus kepada 18 peratus untuk syarikat dengan modal berbayar melebihi RM2.5 juta.

"Kami percaya cadangan mengurangkan kadar cukai ke atas pendapatan yang dikenakan cukai adalah munasabah bagi membantu peniaga meneruskan kelangsungan hidup," katanya.

Maheswary juga menggesa kerajaan memberikan pengecualian cukai ke atas PKS yang membuat sumbangan dalam bentuk program tanggungjawab sosial seperti bantuan kepada rumah anak yatim dan sekolah.

Pada masa ini katanya, sumbangan itu dikenakan cukai kecuali mereka menerima resit pengecualian cukai.

"Banyak syarikat enggan menyumbang kerana perlu membayar cukai," dakwanya.

Mengenai GST, Maheswary berkata, kerajaan tidak wajar mengenakan GST ke atas polisi insurans kesihatan kerana regim cukai dengan peningkatan premium, tidak menggalakkan masyarakat membeli polisi. - BERNAMA

Berita Harian X