Khamis, 22 Oktober 2015 | 5:26pm

KYS mampu capai status universiti teknikal Sabah

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menyampaikan Anugerah Ketua Eksekutif kepada Mohd Iqbal Fikry Saudey ketika Majlis Konvokesyen Kolej Yayasan Sabah (KYS) kali ke-20 di Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Usaha dan komitmen Kolej Yayasan Sabah (KYS) mempelopori pembelajaran akademik, teknikal dan kemahiran vokasional mampu merealisasikan impian institusi itu menjadi sebuah universiti teknikal negeri menjelang 2020.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, usaha ke arah status universiti itu sejajar dengan sumbangan kolej itu terhadap perkembangan bidang pendidikan dan sektor perkhidmatan di negeri itu terutamanya dalam bidang kemahiran dan teknikal yang amat diperlukan pasaran kerja masa kini.

Katanya, KYS dari sebuah institusi kecil dan kini mempunyai tiga pusat kampus pendidikan dan latihan kemahiran sudah memberi manfaat kepada ramai belia dari pelbagai latar belakang dan etnik di Sabah.

"KYS membuka peluang kepada rakyat di Sabah terutamanya belia untuk menceburi bidang kerjaya yang berasaskan kemahiran," katanya ketika berucap menyempurnakan Konvokesyen KYS kali ke 20 di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Yayasan Sabah, dekat sini hari ini.

Musa berkata, kerajaan negeri menerusi Yayasan Sabah sentiasa komited untuk memajukan bidang pendidikan kerana usaha itu adalah antara teras utama bagi memacu kesinambungan pembangunan dan kemajuan negeri di masa hadapan.

"Saya percaya selama ini KYS berjaya melahirkan ramai tenaga pakar dan profesional dalam pelbagai bidang dan usaha ini akan kita teruskan demi melahirkan generasi yang berilmu dan mampu bersaing di peringkat global," katanya.

Musa dalam pada itu menasihatkan graduan KYS untuk terus menyumbang tenaga, fikiran dan dana bagi membantu pembangunan dan kemajuan KYS menerusi alumninya .

Katanya, alumni dapat memainkan peranan dan tanggungjawab untuk mempertingkatkan lagi kualiti dan imej KYS. - BERNAMA

Berita Harian X